Sorting by

×

Anak didik Hidilyn Diaz raih emas angkat berat di Jasin

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

JASIN 17 Mac – Dua atlet remaja angkat berat Melaka menyumbang dua emas pada hari kedua Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior yang berlangsung di Dewan Alamanda Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di sini.

Pelajar tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nyalas, Nurul Syasya Khairina Samsur tampil cemerlang dalam kategori 49 kilogram (kg) berjaya melakukan angkatan 45kg bagi acara snatch dan 58kg clean and jerk.

Dia yang mempunyai berat badan 47 kilogram mencatat angkatan keseluruhan 169kg, sekali gus menewaskan pencabar terdekat Dhia Raihan dari Perak di tempat kedua.

Nurul Syasya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) berkata, dia meletakkan sasaran untuk mengutip lebih banyak pingat untuk Melaka pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) akan datang.

Katanya, dia telah melakukan persediaan awal dengan mengadakan latihan di bawah jurulatih yang juga pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020 dari Filipina, Hidilyn Diaz di Jasin sebelum ini.

“Banyak ilmu, skill dan strategi yang diturunkan oleh jurulatih dan Hidilyn sendiri sepanjang saya berlatih bersama mereka sebelum ini.

“Kemenangan emas saya hari ini juga adalah hasil tunjuk ajar dan panduan yang diberikan selain kesungguhan pasukan angkat berat Melaka sendiri,” katanya.

Dia yang bercita-cita untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah tamat pengajian nanti meletakkan matlamat yang tinggi dalam sukan angkat berat.

Katanya, dia meminati sukan itu sejak berusia 11 tahun dan mendapat sokongan kuat daripada keluarga terutama bapanya yang merupakan bekas anggota tentera.

NURUL Syasya ceria menunjukkan pingat emas yang dimenanginya bagi kategori Youth kategori 49kilogram dan turut diraikan kemenangan oleh Presiden Kelab Angkat Berat Nyalas, Imran Lamin di Dewan Alamanda MPJ Jasin.

Anak ketiga dari tujuh beradik itu meletakkan impian untuk menyaingi pencapaian atlet idolanya, Hidilyn yang berjaya meraih pingat emas pada Olimpik Tokyo lalu.

“Saya mahu sampai ke peringkat itu (Olimpik), kalau Hidilyn mampu capai, saya juga boleh.

“Walau agak mustahil, tapi saya amat bernasib baik kerana keluarga, rakan-rakan amat menyokong impian saya ini,” katanya.

Satu lagi pingat emas berjaya dikutip pasukan angkat berat Melaka melalui Nur Batrisyia Yaacob, 17, bagi kategori Youth 59kg.

Esok merupakan hari terakhir Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior yang menyaksikan penyertaan 116 atlet angkat berat dari seluruh negara beradu kekuatan dalam 32 kategori yang dipertandingkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2110
Kongsi :
Previous post TYT dan 700 jemaah hadiri sambutan malam Nisfu Syaaban
Next post TNB taja RM6.5 juta tubuh tiga Anjung Kasih YKN
Ubah saiz-+=