Anggota polis terlibat nahas ragut nyawa remaja lelaki ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

ALOR GAJAH 12 April – Seorang anggota polis berpangkat Koperal yang terlibat dalam kemalangan bersama remaja lelaki sehingga mengakibatkan kematian ditahan pagi ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata anggota berusia 37 tahun itu ditahan di pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pada jam 9 pagi.

“Sehingga kini, rakaman percakapan masih dijalankan dan menunggu reaksi serta kerjasama anggota terbabit dan jika gagal beri kerjasama baru kita akan buat permohonan reman untuk tindakan lanjut.

“Ujian yang dijalankan terhadap anggota terbabit mendapati dia bebas dari penyalahgunaan dadah,” katanya dalam sati kenyataan di sini, hari ini.

Img 9265
Tangkap layar foto tular

kejadian pada jam 2.56 pagi di Jalan Gangsa – Kesang, Durian Tunggal Rabu lalu, mangsa Mohammad Khairul Basahri, 18 yang cedera parah di bahagian kaki dan badan akibat bertembung dengan kenderaan polis dipandu anggota terbabit disahkan meninggal dunia malam semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata anggota terbabit yang bertugas di Unit Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Durian Tunggal berada dalam keadaan siap sedia (standby) di balai terbabit.

Katanya, ketika kejadian, dia tidak memakai uniform dan  memandu kenderaan pacuan empat roda ke lokasi kejadian secara bersendirian sebelum beberapa anggota lain tiba di lokasi sama sebaik berlaku kemalangan.

“Kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Dalam pada itu, Zainol berkata setakat ini, polis menerima enam laporan berkaitan kemalangan itu dan tiga rakaman percakapan diambil dalam kalangan saksi serta ahli keluarga remaja terbabit.

Sebelum ini, klip video berkaitan nahas itu turut tular di laman sosial memaparkan kenderaan polis tersebut memasuki simpang kanan sebelum dirempuh motosikal mangsa sehingga mengakibatkan mangsa tercampak.

Video berkenaan juga menimbulkan reaksi netizen yang mendakwa kenderaan polis berkenaan tidak memberikan lampu isyarat sebelum memasuki simpang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

575
Kongsi :
Previous post Polis kesan lapan individu bantu siasatan rusuhan di Genting Highlands
Next post Keputusan UPKK 2023 diumum 18 April ini
Ubah saiz-+=