Sorting by

×

ANGKAT SEMULA KEGEMILANGAN SUNGAI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 17 Jun – Melaka sentiasa berusaha untuk menambah baik sektor pelancongan air, sekali gus mengangkat semula kegemilangan Sungai Melaka sebagai nadi pelancongan negeri yang suatu ketika dahulu diberi jolokan ‘Venice of the East’ (Venice di Sebelah Timur).

Sehubungan itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, bersama delegasi Kerajaan Negeri Melaka mengadakan lawatan ke Venice, Itali iaitu sebuah kota legenda yang sinonim dengan perkhidmatan pelancongan air bertaraf dunia.

Ketua Menteri berkata, lebih daripada sekadar lawatan inisiatif itu juga bertujuan memperkasa Melaka sebagai destinasi pelancongan air lestari menjelang Hari Pelancongan Sedunia (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC2025) September nanti.

“Kami turut menyelami rahsia kejayaan sistem bot persiaran Venice seperti gondola, teksi air, bas air dan bot kecemasan yang berpaksikan kelestarian serta pengalaman pengunjung bertaraf antarabangsa.

“Insya-Allah, segala yang dipelajari akan diterjemahkan ke dalam tindakan demi memastikan Melaka terus bergerak ke hadapan, menjadi destinasi pelancongan air bertaraf dunia yang membanggakan Malaysia.

“Dari tebing Sungai Melaka ke terusan-terusan di Venice, semoga persahabatan erat ini akan terus mengalir kukuh dan berpanjangan,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Delegasi Kerajaan Negeri Melaka turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris.

Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, lawatan sama membuka peluang strategik kepada negeri ini, khususnya Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) sebagai pengendali Melaka River Cruise yang juga antara ikon pelancongan negeri ini.

Menurut beliau PPSPM secara tidak langsung berpeluang menimba pengetahuan, meneroka teknologi pengurusan laluan air dan berkongsi amalan terbaik dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.

Sepanjang lawatan itu Ketua Menteri dan delegasi Kerajaan Negeri Melaka diiringi Timbalan Datuk Bandar Venice, Simone Venturini dan delegasi rasmi Majlis Bandaraya Venice serta Kedutaan Besar Malaysia di Rom.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

906
Kongsi :
Previous post MAKAN DURIAN SAMPAI PUAS DI MELAKA AGROFEST 2025
Next post ANUGERAH INDUSTRI CEMERLANG JADI PEMANGKIN SEKTOR INDUSTRI MELAKA