Aura jersi ‘Selat’, Melaka United menang jua akhirnya

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United) mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini selepas menewaskan Sri Pahang FC 1-2, malam tadi.

Dalam aksi di Stadium Darul Makmur itu, Melaka selaku pasukan pelawat bagaimanapun dikejutkan dengan gol awal tuan rumah pada minit ke-4.

Gol itu terhasil selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang mudah disudahkan Mahmoud Za’tara.

Tersentak dengan gol awal itu, skuad Hang Tuah yang turun dengan jersi baharu bertemakan Selat Melaka kembali memperkemaskan permainan.

Namun, tiada gol terhasil sepanjang separuh masa pertama perlawanan.

Bersambung di babak kedua, Melaka akhirnya berjaya mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan Emmanuel Oti pada minit ke-51.

Kelebihan terus berpihak kepada pelawat selepas Sri Pahang FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Azwan Aripin dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-64.

Peluang itu nyata tidak disia-siakan skuad bimbingan pemangku jurulatih, Mohd Asri Ninggal apabila berjaya menyumbat masuk gol kedua menerusi Hasbullah Abu Bakar pada minit ke-70.

Keputusan 1-2 memihak Melaka kekal selepas pengadil, Razlan Joffri Ali meniupkan wisel penamat.

Kemenangan itu membantu Melaka United mengutip empat mata selepas lima perlawanan hasil satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan musim ini.

Selepas ini, Melaka United dijadual menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Hari Raya keempat, 6 Mei depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1577
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak empat tahun maut jatuh kondominium
Next post Kanak-kanak tunggang basikal lajak secara berbahaya di Lekas, video lama
Ubah saiz-+=