Ayam import Thailand, China masuk sebelum Krismas – MAFI

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

JASIN 18 Dis – Bagi menstabilkan harga ayam, sebanyak 9,600 tan ayam sejuk beku dari Thailand dan China akan mula berada di pasaran menjelang sambutan perayaan Krismas, minggu depan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata dengan kemasukan ayam import itu kelak, akan dapat menstabilkan harga bahan mentah itu yang pada ketika ini dilaporkan masih tinggi.

Katanya, sebanyak 29 pembekal sudah dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk membawa ayam sejuk beku bulat dari dua negara berkenaan ke Malaysia.

“Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan untuk mengurangkan beban pengguna, termasuk menganjurkan program jualan barangan keperluan harian dengan harga yang sangat berpatutan, seperti Program Jualan Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Bagaimanapun, saya yakin harga ayam yang tinggi ketika ini akan kembali stabil selepas kemasukan ayam sejuk beku yang diimport dari Thailand dan China minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di Bandar Baru Merlimau Utara, di sini, hari ini.

Pada program yang diadakan serentak di semua kawasan Parlimen di Melaka selama dua hari itu, beberapa harga barangan keperluan harian, termasuk ayam dan sayur dijual pada harga berpatutan.

Ayam segar yang biasanya dijual RM9.60 sekilogram, turun kepada RM8.50 sekilogram, manakala ayam sejuk beku pula dijual dengan harga RM25 untuk dua ekor.

Turut dijual murah, ialah udang harimau pada harga RM45 berbanding RM48 sekilogram dan minyak masak paket dengan harga RM2.30 berbanding RM2.50 sepaket.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin, berkata beberapa jenis sayur menunjukkan trend penurunan harga sehingga 41 peratus sejak beberapa hari lalu.

Katanya, ia membabitkan terung panjang yang turun lima sen kepada RM4.80 diikuti kacang bendi (turun 10 sen kepada RM4.70), kubis bulat (turun 10 sen kepada RM3.50), kelapa kupas (turun lima sen kepada RM1.35), daun bawang (turun 70 sen kepada RM12.40), pisang mas (turun 55 sen kepada RM9.35) dan kacang buncis (turun RM3.65 kepada RM5.20).

“Terdapat beberapa lagi barangan basah turut menunjukkan penurunan harga ketara, namun harga itu dijangka tidak menentu dan boleh naik pada bila-bila masa berikutan faktor cuaca serta harga semasa baja serta racun yang terpaksa ditanggung pekebun ketika ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

567
Kongsi :
Previous post Penduduk di Kajang, Salak Tinggi dinasihat berpindah
Next post Touch ‘n Go, SmartTAG masih boleh digunakan di Lebuhraya PLUS
Ubah saiz-+=