Balu pesara tentera cekal jaga tiga anak istimewa
REMBIA 5 Mac – “Saya sudah berjanji dengan arwah suami, saya akan terus menjaga anak-anak istimewa kami selagi hayat dikandung badan”.
Itu janji Zabedah Mohamad, 53, balu bekas veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Allahyarham Hussin Basir yang meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang dua bulan lalu.
Menurut ibu kepada 10 cahaya mata itu, dia kini reda apabila terpaksa menguruskan tiga anak Orang Kurang Upaya (OKU) autisme berusia antara 22 hingga 32 tahun selain menjaga anak-anak lain yang masih bersekolah.
“Sebelum ini, arwah yang menguruskan semua termasuk mandikan mereka bertiga kerana saya nak buat seorang diri, tidak mampu kerana anak-anak istimewa ini perlu dipantau setiap masa.
“Sebelum ini, saya ada juga berniaga manakala suami pula kadang-kadang ambil upah gunting rambut orang, mengurut jadi kami berdua tidak ada pendapatan tetap dan rumah pula sewa atas nama anak jadi apabila arwah sudah tidak ada, agak berat untuk saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Lendu Bakti, di sini.
Menurut Zabedah meskipun berdepan kesempitan hidup, dia tetap bersyukur kerana masih mendapat bantuan bulanan anak-anak OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Alhamdulillah, anak-anak lain ada yang sudah bekerja dan sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung,” katanya.
Terdahulu, Zabedah dikunjungi Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari bagi menerima bantuan keperluan asas untuk meringankan bebannya anak-beranak.
Zabedah antara penghuni empat buah rumah Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terpilih dalam program Jelajah Program Peduli Veteran (PPV).
Difahamkan, Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini sedang meneliti permohonan Zabedah untuk menerima Bantuan Sara Hidup sebanyak RM300 sebulan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.