Bangunan baharu SJKT Ladang Jasin Lalang, beri keselesaan pada murid – KM

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

JASIN 10 November – Kerajaan Negeri prihatin terhadap usaha berkaitan pembangunan khususnya kemudahan dan keselesaan rakyat dalam mendapatkan akses pendidikan tidak mengira jenis sekolah yang ada di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata beliau tidak pernah membezakan kemudahan infrastruktur pendidikan yang berkualiti untuk rakyat sama ada di bandar atau luar bandar.

Beliau berkata atas usaha itu sebuah bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jasin, Lalang dibina dengan peruntukan bernilai RM3.8 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

“Saya bangga dapat melihat kejayaan pembinaan bangunan baharu sekolah ini yang merupakan sebuah projek pembangunan yang terbaik dan efisien.

“Permohonan bagi pembinaan bangunan baharu sekolah ini dibuat pada tahun
2011 berikutan lokasi sekolah sedia ada di kawasan Ladang IOI Jasin Lalang menyebabkan ibu bapa menghadapi masalah pengangkutan untuk menghantar anak-anak mereka.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran dan usaha semua pihak segala kesusahan dan permasalahan tersebut berjaya diharungi, akhirnya projek ini dimulakan pembinaannya pada 2 November 2020 yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Baharu dan Lain-Lain Kemudahan di SJKT Ladang Jasin Lalang di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, VP Shanmugam; Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jasin, Datuk Roslan Ahmad.

Turut hadir Pegawai Kewangan negeri Datuk Salhah Salleh dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Ir Ismail Abdul Rahman.

photo_2022-11-10_13-10-05
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (kiri) mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Baharu dan Lain-lain Kemudahan di SJK (T) Ladang Jasin Lalang, Jasin. Foto: MR. AZLI

Ujarnya, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Melaka memperuntukkan
tanah seluas 1.6 hektar yang diserahkan kepada Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) bagi membangunkan sekolah.

“Sebagai permulaan majlis pecah tanah sekolah ini berjaya dilangsungkan pada 31 Disember 2020 yang lalu dan siap sepenuhnya pada 28 Oktober 2022 iaitu dua bulan lebih awal daripada tarikh sepatutnya pada 29 Disember 2022.

“Bangunan ini mempunyai enam bilik darjah, lima unit tandas termasuk satu unit tandas Orang Kelainan Upaya (OKU), dua bilik persalinan, makmal sains, bilik utiliti, pusat sumber, kantin, pondok pengawal dan lain-lain kemudahan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2867
Kongsi :
Previous post 2,504 pegawai, anggota Polis Melaka mengundi awal
Next post Bukan janji gula-gula, tapi janji boleh dilaksana
Ubah saiz-+=