Banjir: 275 peladang, penternak dan nelayan di Melaka rugi RM2.83 juta

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER LIMAU 7 Jan – Seramai 275 peladang, penternak dan nelayan di negeri ini mengalami kerugian RM2.83 juta akibat banjir besar baru-baru ini, kata Timbalan Menteri I Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 92 adalah petani yang kerugian RM1.18 juta manakala 142 nelayan (RM1.4 juta), seorang pengusaha tanaman nanas (RM15,000) dan 40 penternak haiwan ruminan (214,640).

Menurutnya, peladang, penternak dan nelayan di daerah Alor Gajah adalah yang paling ramai terbabit dalam kerugian itu, iaitu seramai 138 dengan nilai kerugian RM1.38 juta.

Ia diikuti Melaka Tengah seramai 76 orang dengan kerugian RM1.03 juta dan Jasin seramai 61 (kerugian RM408,540).

Beliau berkata, bagi meringankan beban pengusaha agromakanan terlibat, MAFI menyediakan RM100 juta melalui Dana Bangkit Semula Keluarga Agro.

Selain itu, katanya, RM80 juta turut diperuntukkan untuk Tabung Bencana melalui Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) serta Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) sebanyak RM12 juta.

“Kita tidak boleh menggantikan semua kerosakan tetapi kita boleh membantu meringankan beban peladang, penternak dan nelayan untuk membolehkan mereka bangkit semula,” katanya selepas melawat sawah yang rosak akibat banjir di Kampung Sungai Siput, Lubok China.

Dalam lawatan itu, Ahmad turut menyampaikan sumbangan bahan makanan kepada petani yang terjejas akibat bencana alam itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

862
Kongsi :
Previous post Zoo Melaka perintis pembiakan Harimau Malaya
Next post 60 mahasiswa UTeM ditauliah Inspektor Kor Sukarelawan Polis
Ubah saiz-+=