Sorting by

×

BANJIR DI MELAKA AKIBAT TABURAN HUJAN LUAR BIASA, 21 STESEN REKOD BACAAN KRITIKAL

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

PAYA RUMPUT 11 Julai – Taburan hujan luar biasa yang melanda hampir seluruh negeri sejak awal pagi tadi menjadi antara faktor beberapa kawasan di Melaka dinaiki air.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, berdasarkan data diterima, sebanyak 21 daripada 41 stesen hujan kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka merekodkan bacaan hujan melebihi 100 milimeter (mm), iaitu pada tahap kritikal dan ekstrem.

Menurut beliau, antara bacaan tertinggi direkodkan ialah di Stesen Hujan Pusat Pertanian Sungai Udang yang mencatatkan bacaan hujan 174.5 mm, diikuti Solok Duku, Masjid Tanah (163.5 mm), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu (146 mm) dan Bertam Hulu (143.5 mm).

“Jumlah taburan hujan yang direkodkan dalam tempoh dari awal pagi sehingga jam 5 petang ini adalah sangat tinggi dan menjadi punca utama kejadian banjir yang berlaku di beberapa kawasan di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan banjir di Taman Rambai Utama, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka, Ir. Mohd Adnan Ahmad Fauzi.

Menurut Rais, setakat petang tadi, sebanyak lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negeri, membabitkan empat PPS di daerah Melaka Tengah dan satu lagi di daerah Alor Gajah.

Katanya, antara kawasan yang paling terjejas akibat banjir adalah Bukit Rambai, Bertam Ulu dan Masjid Tanah, selain ia turut membabitkan beberapa kawasan di Duyong, Pengkalan Batu, Bemban dan Serkam.

“Kebanyakan kawasan yang dinaiki air adalah membabitkan kawasan rendah dan berhampiran sungai, di mana sejak awal lagi kita telah menggerakkan semua agensi untuk membantu memindahkan penduduk yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Rais menepis dakwaan banjir adalah berpunca daripada kegagalan sistem pam dan penyelenggaraan di beberapa kawasan sebaliknya menjelaskan ia musibah itu adalah bertitik tolak daripada taburan hujan yang jauh lebih tinggi berbanding kejadian ribut senyar sebelum ini.

“Contohnya di Taman Masjid Tanah Ria, keempat-empat rumah pam yang ada berfungsi dengan baik, malah saya sendiri turun melihat keadaannya.

“Namun, taburan hujan yang terlalu tinggi menyebabkan paras sungai meningkat dan melimpah sehingga mengakibatkan banjir di kawasan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, bagi menangani masalah banjir pada masa akan datang, Kerajaan Negeri terus komited melaksanakan pelbagai projek tebatan banjir.

Antara projek yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Baru di Masjid Tanah bernilai RM450 juta yang kini berada dalam peringkat reka bentuk, selain RTB Ayer Salak bernilai RM100 juta yang sudah dimohon.

Selain itu, jelas beliau, sebuah kolam takungan bernilai lebih RM5 juta sedang dibangunkan di kawasan Bukit Rambai, bagi mengurangkan impak banjir di sekitar Taman Rambai Utama dan Taman Rambai Jaya.

Dalam pada itu, Rais memaklumkan semua agensi berkaitan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah digerakkan bagi membantu mangsa banjir.

Pada masa sama, agensi seperti Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula telah ditempatkan di PPS bagi membantu mangsa banjir yang berpindah.

“Selain itu, CMI Infra, SWM Environment, SWCORP serta pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan membantu operasi pemindahan serta kerja-kerja pembersihan pascabanjir,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang terjejas agar segera berpindah ke PPS sekiranya keadaan tidak selamat serta mendaftarkan diri bagi memudahkan penyaluran bantuan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

343
Kongsi :
Previous post USIA SENJA LEBIH BERMAKNA, KINI MILIKI RUMAH SENDIRI – PENERIMA PPRS
Next post TAWARAN ISTIMEWA ZOO MELAKA SEMPENA HARI HARIMAU SEDUNIA, 25 JULAI INI