Banjir: Hanya sempat selamatkan keluarga, 80 peratus barangan rumah rosak

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

ALOR GAJAH 29 Dis – “Air (banjir) naik sekelip mata, dalam tiga jam dah lebih paras pinggang…pakcik dan keluarga cuma fikir untuk selamatkan diri ditambah pula ada cucu yang masih kecil tinggal bersama kami”.

Itu pengalaman yang dikongsi oleh seorang mangsa banjir, Othman Bentong, 67 dari Kampung Melekek Luar Alor Gajah yang terpaksa berhadapan detik cemas selepas hampir 30 tahun menetap di rumah tersebut.

“Nak kata teruk memanglah, air naik lebih paras pinggang, rumah pakcik bahagian beranda dan ruang tamu semua habis…barang-barang memang tak sempat nak selamatkan sebab fikirkan diri dulu.

“Ikutkan kerugian tak boleh nak kira macam mana, tapi 80 peratus barang dalam rumah rosak…ini banjir yang paling teruk, sebelum ini pernah juga banjir tapi tidak seteruk ini,” katanya kepada MHI selepas menerima sumbangan bencana banjir hari ini.

OTHMAN

Sumbangan itu disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam Majlis Penyampaian Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad dan lain-lain kenamaan.

Menurut Othman sewaktu kejadian (17 Dis) dia bersama isteri, anak, menantu dan cucunya sedang berehat di rumah.

“Masa tu tengah malam, pakcik tinggal dengan isteri, anak, menantu dan cucu…lima orang semua sekali, air naik mendadak kami semua rasa cemas.

“Tapi alhamdulillah hari ini semua mangsa banjir diberikan sumbangan, dengan sumbangan ini dapatlah membantu sedikit melegakan keluarga pakcik terutama membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur tebal,” katanya.

Minggu lalu, Melaka menjadi antara negeri terkesan selepas dilanda bencana banjir yang yang terburuk sejak 1971 apabila beberapa kawasan di daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin dinaiki air dan menyebabkan hampir 1,000 mangsa ditempatkan di pusat perpindahan sementara (PPS).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1062
Kongsi :
Previous post Agong nasihat rakyat siap sedia hadapi kemungkinan banjir besar
Next post ‘Long Tiger’ rancang lari ke negara jiran
Ubah saiz-+=