Banjir: Hanya tinggal 150 mangsa di tiga pusat pemindahan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 22 Dis – Mangsa banjir di Melaka terus berkurangan hari ini dengan hanya 150 orang masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, jumlah itu membabitkan 82 mangsa di daerah Alor Gajah dan 68 di Jasin.

“PPS yang masih menempatkan mangsa banjir ketika ini ialah dua di Alor Gajah iaitu di SMK Lubok China yang menempatkan 78 mangsa dan SK Belimbing Dalam (empat mangsa).

“Manakala di Jasin, hanya satu PPS masih dibuka iaitu di SK Parit Penghulu Benteng yang menempatkan 68 mangsa daripada 14 keluarga,” katanya.

Mengulas lanjut, setakat ini terdapat 15 kawasan masih terjejas banjir di Alor Gajah iaitu membabitkan Kg Bukit Tambun, Kg Bukit Balai, Kg Jeram, Kg Taboh Naning, Pekan Lubok Cina, Ramuan China Besar, Taman Seri Bayu dan Kg Pengkalan.

Selain itu, ia juga membabitkan Kg Panchor, Kg Beringin, Kg Paya Lebar, Kg Belimbing Dalam, Kg Pulau, Kg Gangsa dan Kg Gadek Dalam.

Manakala, daerah Jasin pula melibatkan Kg Parit Penghulu Benteng, Kg Lanchang, Lubuk Kasau, Tanjung Labuh, Kg Tersusun Rambai Jaya, Batu 16 Jasin dan Tehel.

Sementara itu, beliau berkata, keadaan banjir di daerah Melaka Tengah kini pulih sepenuhnya selepas tiga PPS yang dibuka di Krubong, Tanah Merah dan Taman Merdeka ditutup semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

944
Kongsi :
Previous post Melaka sedia peruntukan RM60,000 untuk sumbangan Krismas – KM
Next post PPS penuh, mangsa banjir Temerloh mohon bantuan
Ubah saiz-+=