Banjir: Jumlah mangsa dipindahkan di Jasin kekal tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

MELAKA 7 Jan – Jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Jasin merekodkan jumlah tertinggi seramai 402 mangsa susulan air banjir termenung melanda daerah itu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, tiga pusat pemindahan di daerah itu iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu, SK Seri Mendapat dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai masih dibuka bagi menempatkan mangsa terjejas berkenaan.

Katanya, bagi daerah Alor Gajah, hanya satu PPS masih dibuka iaitu SK Belimbing Dalam dengan menempatkan seramai empat mangsa membabitkan satu keluarga.

“PPS SMK Sungai Rambai di Jasin menempatkan mangsa paling ramai iaitu 276 mangsa membabitkan 78 keluarga, PPS SK Parit Penghulu seramai 64 mangsa daripada 14 keluarga dan SK Seri Mendapat seramai 62 mangsa daripada 17 keluarga.

“Bagaimanapun, di daerah Melaka Tengah, sembilan PPS yang dibuka sebelum ini telah ditutup sepenuhnya semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata daerah Jasin masih merekodkan jumlah mangsa paling tinggi berikutan terdapat empat kawasan di daerah itu masih dinaiki air.

“Kawasan itu melibatkan Kampung Parit Penghulu Benteng, Kampung Lanchang, Kampung Tersusun Rambai Jaya dan Kampung Parit Putat Benteng.

“Manakala di daerah Alor Gajah, hanya Kampung Belimbing Dalam yang masih terjejas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

650
Kongsi :
Previous post Kaji faktor geologi dalam persiap langkah hadapi bencana – Pakar
Next post Tawar khidmat seks, enam wanita Afrika ditahan – Imigresen
Ubah saiz-+=