Banjir: Kerajaan kenal pasti tiga kelemahan perlu diperbaiki – PM
KUALA LUMPUR, 20 Jan – Kerajaan mengenal pasti tiga cabaran utama perlu diberi perhatian untuk diperbaiki dan ditambah baik segera dalam pengurusan banjir termasuk pemahaman terhadap Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata masih terdapat kelemahan pemahaman dalam kalangan agensi-agensi berkaitan di peringkat pusat, negeri dan daerah serta badan berkanun, selain pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan tanggungjawab masing-masing di peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana seperti digariskan di bawah arahan itu.
“Kerjasama rapat pelbagai pihak seperti kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan penting dalam memastikan keberkesanan pengurusan bencana negara pada tahap optimum,” katanya ketika sesi penerangan berkenaan situasi bencana banjir penghujung tahun 2021 pada Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.
Ismail Sabri berkata pihaknya juga mengenal pasti kelemahan perintah dan kawalan dengan ketiadaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di negeri dan daerah, menyukarkan koordinasi secara terus dengan agensi-agensi di lapangan.
Arahan MKN No. 20 adalah berkaitan dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara yang menggariskan peranan dan tanggungjawab setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat.
Perdana Menteri berkata struktur organisasi sedia ada juga membataskan keupayaan NADMA untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana yang melibatkan penduduk setempat, NGO dan pihak berkuasa Tempatan (PBT).
Beliau berkata kekangan ini menyebabkan NADMA tidak dapat menguruskan bencana secara terus di peringkat negeri dan daerah.
Selain itu, katanya kelemahan pengurusan maklumat dalam pengurusan bencana juga perlu diperbaiki kerana didapati ada yang masih mengamalkan kaedah pengumpulan maklumat secara konvensional yang tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
Menurutnya situasi ini menyebabkan proses penyediaan laporan, penganalisaan, proses membuat keputusan dan pengurusan data berkaitan menunjukkan kelemahan yang ketara.
“Penyaluran maklumat oleh agensi-agensi terlibat sepatutnya lebih pantas dan tepat kepada mangsa-mangsa banjir dan ini semua perlu diperbaiki,” katanya.
Bagi menambah baik pengurusan bencana, Ismail Sabri berkata beliau telah mengarahkan agensi bertanggungjawab supaya mempercepatkan pembangunan Fasa Kedua Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang diurus Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meliputi 38 lembangan sungai utama seluruh negara bagi membolehkan ramalan awal banjir yang lebih tepat dikeluarkan.
Dari segi hebahan kepada orang awam, Ismail Sabri berkata kaedah terbaik dan terpantas untuk mengeluarkan amaran awal dan arahan bersedia khususnya kepada penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir, juga perlu ditambah baik.
“Misalnya menggunakan aplikasi WhatsApp, push notification (paparan notifikasi) melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi. Penghasilan visual simulasi banjir, infografik dan sebagainya juga perlu diberi perhatian yang boleh disebarluaskan melalui media massa dan media sosial,” katanya.
Dalam urusan penyediaan makanan kepada mangsa banjir, perdana menteri berkata penggunaan teknologi retort bagi makanan sedia dimakan akan diedar kepada mangsa banjir kerana kaedah pembungkusan tersebut lebih tahan lama dan kalis air.
Selain itu, katanya penglibatan organisasi masyarakat sivil (CSO) secara terselaras akan dapat melancarkan lagi proses penyampaian bantuan kepada mangsa yang terjejas selain, meningkatkan pemerkasaan komuniti bagi mewujudkan masyarakat berdaya tahan terhadap bencana.
Sebagai langkah jangka panjang, Ismail Sabri berkata aspek dasar pengurangan risiko bencana (DRR) juga perlu ditambah baik secara pendekatan keseluruhan masyarakat dan diterapkan di dalam segenap aspek meliputi pembangunan, ekonomi, pendidikan dan kesihatan.
Beliau berkata ini kerana pengurusan bencana adalah urusan semua pihak dengan komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam merupakan kunci yang perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membentuk budaya perkongsian tanggungjawab termasuk dalam DRR.
Selain itu, katanya PBT perlu sentiasa memainkan peranan seperti memastikan saluran longkang monsun khususnya di bandar dan pinggir bandar sentiasa berada dalam keadaan baik serta tidak tersumbat dengan sampah sarap bagi mengurangkan risiko berlakunya banjir kilat.
Perdana Menteri berkata beliau juga telah mengarahkan NADMA mempercepatkan penggubalan Akta Pengurusan Bencana.
“Selain daripada itu, saya selaku Pengerusi Jawatankusa Pengurusan Bencana Pusat akan memanggil mesyuarat yang melibatkan Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri serta wakil-wakil kerajaan negeri untuk kita membuat perancangan jangka panjang yang menyeluruh bagi mengatasi masalah banjir,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.