Banjir lumpur punca masalah air berbau, kotor di Melaka – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

MERLIMAU 26 Okt – Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) giat melakukan kerja pembilasan (flushing) bagi mengatasi isu gangguan air paip yang didakwa kotor dan berbau di beberapa kawasan di negeri ini.

Exco Kemudahan Awam negeri, Datuk Roslan Ahmad berkata, hujan lebat lebih empat jam pada 20 Oktober lalu mengakibatkan kebanyakan kawasan di negeri ini dilanda banjir.

Katanya, bencana itu turut mengakibatkan banyak kawasan tadahan dilimpahi air berlumpur sehingga air yang disalurkan ke kawasan penduduk agak berbau dan kotor.

“Banyak kawasan takungan dan tadahan air Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dimasuki air berkeladak, lumpur dan sebagainya.

“Jadi, kalau ada masih ada kawasan yang terjejas, ia berikutan SAMB sedang melakukan pembilasan di loji rawatan air bagi mengeluarkan air kotor yang berkeladak itu untuk digantikan air baharu,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan kepada 200 masyarakat India bagi menyambut Deepavali di Dewan Lipat Kajang, Jasin.

Mengulas lanjut, Roslan berkata pada ketika ini, SAMB sedang melakukan kerja-kerja pembilasan air bagi membersihkan semula air yang terjejas akibat banjir berkenaan.

“Prosedur operasi standard (SOP) SAMB akan melakukan ‘flusing’ dan ia mengambil masa beberapa hari.

“Mungkin akan ada gangguan air buat seketika kerana mereka mahu menghentikan air dan apabila ‘flushing’ selesai dilakukan, barulah mereka masukkan air baru,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri berkata, rakyat di negeri diminta untuk bersabar dengan isu gangguan air memandangkan SAMB sedang giat melakukan kerja-kerja pembaikan.

Jelasnya, kerja pembaikan itu dijangka akan dapat diselesaikan dan pulih dalam masa terdekat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

788
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: Kerajaan imbangi tuntutan keselamatan dengan demokrasi
Next post Mahu teruskan pembangunan di Merlimau jika masih diberi mandat – Roslan
Ubah saiz-+=