Banjir: MAFI sedia RM100 juta bantu Wira Agro terjejas

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

GADEK 5 Jan – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyediakan peruntukan berjumlah RM100 juta disediakan bagi membantu Wira Agro yang terjejas akibat banjir.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, peruntukan itu termasuklah Dana Bangkit Semula.

Beliau berkata, selain peruntukan itu, pihaknya turut menyediakan peruntukan pembangunan semula projek agro makanan berjumlah RM80 juta serta Tabung Bencana Tanaman Padi.

“Sehingga kini kira-kira 5,000 bakul makanan disalurkan kepada Wira Agro di beberapa negeri selain itu daripada laporan diterima seramai 5,500 pengusaha subsektor makanan terkesan akibat banjir.

“Kesemua kerugian itu dianggarkan berjumlah RM67.72 juta dan di Melaka dicatatkan RM2.83 juta membabitkan seramai 275 orang Wira Agro,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan dan set selimut kepada keluarga Agro yang terkesan banjir di Kampung Gadek, di sini.

Menurut beliau, peruntukan dan sumbangan itu bagi memastikan sekuriti makanan Keluarga Malaysia terjamin selain kelangsungan perusahaan Wira Agro terbela.

“Kita tahu ini adalah ujian yang dihadapi petani dan penternak dan kerajaan berusaha membantu supaya golongan ini mampu bangkit semula.

“MAFI melalui pelbagai jabatan dan agensinya masih melaksanakan penilaian bagi mengenal pasti kerugian sebenar yang dialami oleh golongan sasar yang terkesan dan jumlahnya dijangka terus meningkat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

556
Kongsi :
Previous post Mahkamah tolak permohonan Farid Kamil untuk kebenaran merayu terhadap sabitan dan denda
Next post Harga ikan meningkat akibat cuaca tidak menentu – MAFI
Ubah saiz-+=