Banjir: PM akan pastikan semua pihak lancarkan urusan pemberian bantuan kepada mangsa

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memastikan  setiap pihak menggalas tugas masing-masing sebaiknya dalam melancarkan urusan pemberian bantuan-bantuan kerajaan berikutan bencana banjir yang melanda negara.

Beliau berkata segala bantuan yang telah diumumkan mesti segera dihulur kepada mereka yang terkesan.

“Saya turut mengingatkan anggota Kabinet bahawa semua orang mempunyai peranan masing-masing dalam menghadapi krisis kesihatan, ekonomi dan bencana yang melanda negara.

“Saya yakin dan percaya, dengan tumpuan dan dedikasi dari semua, cabaran ini dapat kita lalui dengan tenang, sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya hari ini.

Perdana Menteri berkata ia merupakan antara dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet pertama tahun ini yang dipengerusikannya di Perdana Putra, Putrajaya pagi tadi.

Menurutnya antara penekanan mesyuarat berkenaan adalah isu pengurusan banjir dan pasca banjir  serta penangguhan ibadah umrah bagi jemaah Malaysia atas sebab penularan varian Omicron di Tanah Suci.

Ismail Sabri dalam ciapan di Twitternya pula memaklumkan 36,087 atau 76 peratus ketua isi rumah telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI), setakat 1 tengah hari tadi.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia antaranya meliputi BWI  sebanyak  RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah berbanding RM500 sebelum ini.

Bayaran bantuan berkenaan disalurkan sejak 27 Dis tahun lepas, iaitu 10 hari selepas kejadian banjir agak luar biasa yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

565
Kongsi :
Previous post Banjir: Banjir di Melaka semakin pulih, hanya 543 mangsa masih di PPS
Next post Zarinah Anwar wanita pertama dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UM
Ubah saiz-+=