Banjir: Pusat pemindahan banjir ibarat rumah kedua Makcik Rohaya

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

PAYA RUMPUT 21 Dis – “Sudah hampir 30 tahun saya berdepan dengan banjir dan setiap kali banjir saya telah bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong,” kata Rohaya Doli, salah seorang mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Krubong di sini sejak empat hari lalu.

Rohaya, 51, berkata, dia sudah lali dengan insiden banjir yang melanda kediamannya di Kampung Padang Siapong dekat Krubong dan melahirkan rasa syukur kerana dia dan keluarganya terselamat dalam kejadian banjir terbaharu yang berlaku malam Sabtu lalu.

“Kali ini, air banjir naik sangat cepat kerana hadapan rumah mula ditenggelami air kira-kira pukul 8.30 malam dan kerana bimbang dengan keselamatan keluarga disebabkan rumah bersebelahan dengan kolam tadahan air Gangsa, saya sekeluarga terus meninggalkan rumah berpindah ke PPS lewat tengah malam.

“Saya bimbang jika deras air banjir terlalu kuat akan menjejaskan struktur kolam tadahan tersebut sekali gus membahayakan keselamatan saya sekeluarga, lebih-lebih nyawa dua cucu dalam jagaan saya berusia dua bulan dan setahun,” katanya ketika ditemui di PPS SK Krubong.

ROHAYA Doli

Menurut Rohaya, kejadian banjir terbaharu itu dianggap tidak seteruk yang berlaku pada Oktober lalu yang memusnahkan sebahagian besar isi rumah termasuk pakaian dan barangan elektronik apabila air banjir naik hingga paras dada.

Berbanding kejadian malam Sabtu lalu, katanya, air naik hanya setakat paras lutut dan dia sempat menyelamatkan dokumen penting dan perabot rumah.

“Bayangkan baharu dua bulan lalu saya bersihkan rumah dari air banjir dan terpaksa mengulang kerja yang sama untuk beberapa hari ini, tidak terkata rasa sedih dan penat yang terpaksa ditanggung akibat banjir ini.

“Sejak tahun 1991 dan mempunyai anak satu, saya sudah berdepan dengan masalah banjir ini, sehinggalah sekarang sehingga sudah bercucu dan sampai generasi ketiga, masalah banjir tetap berlaku ,” katanya.

Katanya, dia sanggup meninggalkan kediamannya sekarang dan berpindah ke tempat baharu yang ditawarkan oleh kerajaan kerana tidak sanggup menanggung keperitan akibat masalah banjir yang berlaku di kawasan Krubong.

FARIDAH Ibrahim

Sementara itu, bagi Faridah Ibrahim, 59, dia sudah lama tidak membeli peralatan elektrik dan perabut rumah memandangkan kediamannya sering dinaiki air banjir.

“Kadang-kadang banjir dua tiga kali berlaku dalam setahun, mana orang boleh tahan. Saya lebih rela rumah kosong tanpa kelengkapan perabot sebab selalu sangat rumah dinaiki air banjir.

“Sudahlah pampasan banjir yang diberi cuma RM200, tidak cukup menampung kerja-kerja membersih dan membaiki barangan rumah yang rosak malah penduduk terpaksa keluar perbelanjaan sendiri pula,” katanya.

Kata Faridah, dia memahami kejadian banjir merupakan bencana alam dan tiada siapa mampu menghentikan insiden itu namun seharusnya pihak berkuasa terlibat mempunyai pelan tindakan yang berkesan bagi menangani isu tersebut dari terus berulang pada masa depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1015
Kongsi :
Previous post Banjir: Sedikit peningkatan mangsa di PPS beberapa negeri pagi ini
Next post Banjir: Keluarga Adik Ainul tampil bantu mangsa banjir
Ubah saiz-+=