Banjir: Wanita utamakan keselamatan suami lumpuh

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

MELAKA, 4 Jan – Setiap kali banjir melanda kawasan perumahannya di Taman Merdeka Jaya di sini, Siti Hasnah Husin, 52, terlebih dahulu akan memastikan keselamatan suaminya yang lumpuh sebelah badan.

Siti Hasnah berkata suaminya, Muslim Abdullah, 57, yang juga pesara kerajaan itu diserang angin ahmar tiga tahun lepas dan baru sahaja dibenarkan pulang ke rumah dari wad hospital selepas mendapatkan rawatan akibat jangkitan kuman minggu lepas.

Katanya jiran-jiran membantu membawa suaminya keluar dari rumah untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsan (SK) Taman Merdeka, Batu Berendam kira-kira pukul 12 tengah malam Ahad lepas.

“Tiap kali diuji dengan banjir, saya reda dan percaya pasti ada hikmah dengan dugaan ini, selain rasa bersyukur kerana jiran-jiran setaman sangat membantu dan mengambil berat antara satu sama lain.

“Layanan di PPS juga sangat baik…segala keperluan kami sentiasa mencukupi dan makanan yang disediakan juga sangat banyak selain rasa selesa dengan kemudahan di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS itu, di sini hari ini.

Siti Hasnah berkata mereka sekeluarga juga telah lali dengan kejadian banjir sejak tinggal di kawasan itu pada 2003 kerana hampir setiap tahun akan dinaiki air, ekoran terletak berdekatan sungai.

Katanya pengalaman menghadapi bencana itu sebelum ini membuatkan mereka sentiasa bersiap sedia untuk menyelamatkan dokumen penting, peralatan elektrik dan perabot.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Taman Merdeka Jaya, Azmi Torudin, 49, berkata beliau terpaksa meredah banjir ke PPS bersama isteri dan lima anaknya, walaupun baru sahaja menjalani rawatan patah tulang kaki dua minggu lepas.

“Setiap kali banjir kami sekeluarga terpaksa berpindah ke PPS, tetapi di sini juga selesa, layanan petugas sangat baik dan sentiasa bertanya khabar dan keperluan kami,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim menasihatkan supaya mangsa yang ditempatkan di PPS tidak terburu-buru pulang ke rumah.

Katanya mereka perlu memastikan rumah telah dibersihkan sepenuhnya dan boleh diduduki kerana ada sebahagian kawasan yang mengalami gangguan bekalan elektrik.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

600
Kongsi :
Previous post Agong ziarah, santuni mangsa banjir di Rompin
Next post Daesh: Pendakwaan tarik balik rayuan terhadap hukuman penjara dua lelaki
Ubah saiz-+=