Bantu rakyat kurangkan kos sara hidup

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

DURIAN TUNGGAL 19 Feb – Program Jualan Keluarga Malaysia, di sini, mendapat sambutan menggalakkan apabila diserbu pengunjung seawal jam 7 pagi untuk berbelanja bagi mendapatkan bekalan barangan dapur.

EXCO Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, program yang julung kali diadakan di tapak pasar malam itu turut diadakan serentak di lima lokasi lain di negeri ini iaitu di tempat letak kereta di Stadium Jasin, tapak berhadapan Sekolah Kebangsaan Telok Mas, tapak pasar malam Bertam Jaya, Dataran Mat Riau Bukit Baru dan di Japerun Rembia.

Beliau berkata, penduduk setempat perlu merebut peluang untuk hadir berbelanja kerana harga yang ditawarkan pada program jualan itu lebih rendah berbanding di lokasi jualan yang lain.

“Ini antara inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya pengguna berpendapatan rendah malah dalam tempoh dua jam barangan jualan kelihatan sudah hendak habis.

“Program ini menawarkan pilihan barangan keperluan harian kepada pengguna dengan harga sehingga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran dan antara barang yang dijual adalah beras, ikan, sayuran, minyak masak paket,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Jualan Keluarga Malaysia yang turut dihadiri Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) Norena Jaafar serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil.

Katanya, program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pengguna untuk merancang dan membuat pilihan yang bijak dalam mengurangkan perbelanjaan.

Sementara itu, Norena berkata, pengunjung yang hadir juga boleh mendapatkan bekalan minyak masak paket bersubsidi yang dijual terus kepada pembeli bagi memudahkan mereka untuk mendapatkan bekalan.

“Sepatutnya pemborong atau repackers tidak boleh menjualnya secara terus kepada pembeli tetapi bagi Program Jualan Keluarga Malaysia ini kita bagi kelonggaran khas.

“Memang dibenarkan dua paket sahaja kerana kalau tiada limit pengunjung mungkin akan membeli hingga berkaton dan dalam kuantiti banyak dan itu boleh menyebabkan berlaku gangguan bekalan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

892
Kongsi :
Previous post Lebih 10 peratus populasi kanak-kanak terima dos pertama vaksin COVID-19
Next post Ajaib….Melaka lengang di hujung minggu
Ubah saiz-+=