
BAPA TERHARU LIHAT ANAK ‘ISTIMEWA’ TERUJA NAIK MENARA TAMING SARI
BANDA HILIR 24 Disember – Melihat anak istimewanya tersenyum dan girang ketika diberi peluang menaiki Menara Taming Sari menjadi detik yang amat bermakna buat Wira Sudepja Rabu, 50.
Berkongsi pengalamannya Wira berkata, dia pada mulanya berasa risau hasrat untuk melihat anak perempuannya Nur Wadihan Wira Sudepja, 17, menaiki Menara Taming Sari terbantut jika lokasi berkenaan tidak mempunyai kemudahan atau laluan khas bagi golongan orang kurang upaya (OKU).
“Tetapi telahan saya meleset kemudahan untuk OKU di kawasan ini amat membantu melancarkan urusan saya. Menara Taming Sari adalah destinasi tumpuan pelancong yang mesra OKU.
“Anak perempuan saya menghidap ‘cerebral palsy’ berikutan itu pergerakannya banyak bergantung kepada kerusi roda. Tetapi dengan segala kemudahan disediakan Nur Wadihan dapat menyaksikan panorama indah Bandaraya Melaka dan Selat Melaka dari Menara Taming Sari,” katanya.

Katanya, peluang menaiki Menara Taming Sari bukan sekadar aktiviti riadah, malah memberi makna besar kepada anaknya yang jarang berpeluang menikmati kemudahan awam secara selesa dan selamat.
“Saya sangat gembira apabila melihat anak saya ketawa dan teruja, kemudahan ini amat bermakna buat saya dan ibu bapa lain yang membesarkan anak istimewa,” katanya.
Dia turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Menara Taming Sari atas inisiatif menyediakan kemudahan mesra OKU, termasuk akses kerusi roda dan bantuan daripada kakitangan yang memudahkan pergerakan pengunjung berkeperluan khas.
“Saya berharap lebih banyak produk pelancongan dan kemudahan awam di Melaka ini memberi penekanan terhadap aspek seumpama ini, agar golongan OKU turut dapat menikmati pengalaman pelancongan secara inklusif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

