Bayaran GKP 3.0 mulai 10 Jun ini

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR 8 Jun – Sejumlah RM5.08 bilion telah dan akan disalurkan kepada hampir satu juta perniagaan kecil dan sederhana (PKS) mikro di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) semenjak pandemik COVID-19 melanda negara, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Kerajaan berharap bantuan langsung yang disalurkan kepada PKS mikro ini, akan meringankan beban mereka terutamanya yang amat terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada kali ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) kerajaan memutuskan pemberian GKP 3.0 sebanyak RM1,000 kepada lebih sejuta peniaga mikro untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka, khususnya dalam menguruskan aliran tunai masing-masing.

MENTERI Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Foto Facebook Tengku Fazrul

Manakala melalui program PEMERKASA Tambahan yang diumumkan pada 31 Mei lalu, kerajaan mengumumkan komitmen yang sama sepanjang tempoh PKP 3.0, dengan pemberian tambahan RM500 yang menaikkan jumlah bayaran kepada RM1,500 bagi setiap PKS mikro.

“Sukacita dimaklumkan bahawa hampir sejuta PKS mikro melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0 dan GKP 2.0 serta PKS mikro yang baharu lulus GKP 3.0 akan menerima bayaran RM1,000 mulai 10 Jun ini (Khamis) secara berperingkat melibatkan implikasi kewangan hampir RM1.0 bilion,” katanya.

Tengku Zafrul berkata pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP dan semakan status kelulusan boleh dibuat mulai 8 Jun, 2021 di pautan https://gkp.hasil.gov.my.

Bayaran tambahan RM500 itu yang melibatkan peruntukan hampir RM500 juta, akan dibayar pada Julai 2021 menjadikan jumlah keseluruhan GKP 3.0 sebanyak RM1.5 bilion.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

349
Kongsi :
Previous post Zoo Melaka & Night Safari belanja RM200,000 sebulan untuk makanan haiwan- Shadan
Next post 98 anak kapal KD Mahawangsa disahkan positif COVID-19- Ismail Sabri
Ubah saiz-+=