Bazar Ramadan dibenar operasi tahun ini – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada sekatan akan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi termasuk Bazar Ramadan pada tahun ini.

Bagaimanapn beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) bazar tersebut akan diperhalusi dan diumumkan apabila sampai masanya nanti.

“Kita tidak akan tutup perniagaan, saya dah sebut raya ke, bulan puasa ke, pasar Ramadan ke, pasar malam ke, masih akan dibuka seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Makan Tengah Hari Lou Sang Tahun Baharu Cina Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan luahan peniaga Bazar Ramadan yang bimbang mereka tidak boleh berniaga akibat kes COVID-19 negara yang mengalami peningkatan mendadak, susulan penularan varian Omicron sejak lebih sebulan lalu.

Semalam, kes baharu COVID-19 mencatatkan 22,802 kes menjadikan kumulatif kes mencecah lebih 3 juta.

Minggu lepas, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim berkata penganjuran Bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan tahun ini dibenarkan, dan akan dilaksanakan seperti biasa SOP sedia ada.

Pada 2020, operasi Bazar Ramadan di seluruh negara adalah tidak dibenarkan bagi mengekang penularan COVID-19, manakala pada tahun lalu pula, operasi Bazar Ramadan di kawasan yang dikenakan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tidak dibenar beroperasi.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1154
Kongsi :
Previous post Wang, wanita dipercayai jadi taruhan sindiket lumba haram
Next post PM cadang adakan lawatan kerja ke China, Timur Tengah
Ubah saiz-+=