Bekas CEO Bursa Malaysia, Yusli Mohamed Yusoff meninggal dunia

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Bekas Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Bhd Datuk Yusli Mohamed Yusoff, meninggal dunia tengah hari ini pada usia 63 tahun selepas berjuang melawan barah.

Allahyarham memegang jawatan penting itu bagi tempoh 10 April, 2004 hingga 31 Mac, 2011 di Bursa yang sebelum ini dikenali sebagai Bursa Saham Kuala Lumpur.

Selain itu, Allahyarham juga menyandang jawatan termasuk pengerusi Mudajaya Group Bhd, timbalan pengerusi FGV Holdings Bhd (FGV) dan presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG).

Yusli juga pernah dilantik sebagai pengarah AirAsia X Bhd, Westports Holdings Bhd dan KPJ Healthcare Bhd.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Mohd Nazrul Izam Mansor berkata seluruh warga kerja FGV mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Menurut beliau, Yusli dilantik menganggotai Lembaga Pengarah FGV pada 6 Sept, 2018 dan disusuli dengan pelantikan sebagai timbalan pengerusi pada 2 Mac, 2020.

“Allahyarham merupakan seorang insan yang baik dan dihormati oleh kalangan sahabatnya. Sebagai ahli Lembaga Pengarah, Allahyarham memberi sumbangan bermakna terhadap pelan pemulihan FGV.

“Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar untuk kumpulan ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya kepada Bernama.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1597
Kongsi :
Previous post PM ajak semua pihak doakan mangsa tanah runtuh di Ampang dapat diselamatkan
Next post Tiga dikhuatiri masih tertimbus, dua ditemukan dalam kejadian tanah runtuh
Ubah saiz-+=