Bekas guru infak 4,000 bubur lambuk untuk arwah isteri

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

LENDU 17 April – Demi kasih kepada isteri tercinta yang sudah pergi buat selama-lamanya, seorang pesara kerajaan sanggup mengeluarkan kos untuk bersedekah 4,000 mangkuk bubur lambuk sepanjang Ramadan.

Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Melaka (SMKTM), Abdul Razak Che Ngah, 68, berbelanja ribuan ringgit untuk menyediakan bahan makanan kegemaran ramai itu sebelum menginfakkannya kepada orang ramai dengan pahalanya dikhususkan untuk arwah isteri tercinta.

Pemergian Allahyarhamah Besah Wahab dua tahun lalu dirasakan Abdul Razak seolah-olah baharu semalam berlaku dan bagi memohon kesejahteraan roh arwah, dia membuat sendiri bubur lambuk untuk disedekahkan kepada anggota komuniti di pekan ini.

Pada setiap jam 5 petang Sabtu dan Ahad, sejak bermulanya puasa pada 3 April lalu, Abdul Razak dan anggota keluarganya, termasuk beberapa cucu menghulurkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di Kampung Bukit Beringin, di pekan ini.

“Alhamdulillah, pada setiap pagi Sabtu dan Ahad saya dan angota keluarga di negeri ini dan yang datang dari Kuala Lumpur dan Kajang bergotong-royong memasak bubur lambuk di kediaman mentua saya di Kampung Bukit Beringin.

“Sebanyak 500 mangkuk bubur lambuk kami sedekahkan pada setiap petang Sabtu dan Ahad dan kami memohon agar Tuhan menyampaikan pahalanya kepada roh arwah isteri dan roh anggota keluarga lain yang sudah mendahului kami,” katanya ketika ditemui mengedarkan bubur lambuk di kampung itu semalam.

Dia berkata, arwah isterinya meninggal dunia akibat penyakit barah perut dan selepas pemergian arwah, beliau tidak berhasrat mencari pengganti kerana terlalu menyayangi arwah.

Abdul Razak yang menetap di Peringgit sanggup berulang alik kira-kira 68 kilometer ke Tanah Perkuburan Kampung Lekok, di sini semata-mata untuk menziarahi pusara arwah isteri pada setiap hujung minggu sejak dua tahun lalu.

Katanya, setiap kali menghulurkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya, dia tidak lupa meminta mereka mendoakan kesejahteraan kesihatannya.

Muhammad Umair Haziq (dua dari kanan) dan anggota
keluarganya membantu mengedarkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di Kampung Bukit Beringin, Masjid Tanah.

Sementara itu, cucunya, Muhammad Umair Haziq Muhammad Fairuz, 14, berkata dia dan tiga adik-beradiknya gembira berpeluang membantu datuknya mengedarkan bubur lambuk.

“Kami tinggal di Kajang dan pulang ke kampung pada setiap hujung minggu pada Ramadan semata-mata untuk membantu datuk kami bersedekah bubur lambuk.

“Alhamdulillah, orang ramai tidak pernah menolak untuk menerima bubur lambuk kami dan mereka ceria menerimanya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1136
Kongsi :
Previous post Kerajaan hormati, tak campur tangan keputusan mahkamah kes basikal lajak
Next post Lima cedera tembakan rambang di masjid di Kanada
Ubah saiz-+=