Bekas Mufti Melaka meninggal dunia

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

MELAKA 28 Oktober – Bekas Mufti Melaka, Datuk Mohd Yunus Mohd Yatim yang pernah berkhidmat pada era tahun 90-an di negeri ini meninggal dunia malam tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 93 tahun di kediaman anaknya di Kuala Lumpur kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Perkara itu disahkan oleh Mufti Melaka, Datuk Wira Halim Tawil ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar dalam pentadbiran Islam di negeri ini dan banyak menyumbang jasa dan bakti meskipun telah bersara.

“Beliau seorang yang sangat berpengalaman dalam pentadbiran Islam, mempunyai ketinggian ilmu dan berakhlak mulia ketika berkomunikasi dan berurusan dengan masyarakat.

“Walaupun beliau telah bersara pada tahun 1999 namun sumbangannya kepada masyarakat begitu banyak.

“Kerajaaan negeri mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham,” katanya.

Menurutnya, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Al Wahhab Permatang Duyung selepas solat Jumaat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hang Tuah, Duyung.

Allahyarham anak ketujuh daripada dua belas adik beradik dan dilahirkan di Kampung Kandang, Batu 5, Melaka.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kandang dan Sekolah Al-Khairiyah Air Molek sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Al-Nurian Paya Rumput, Sungai Udang, Melaka.

Antara jawatan yang pernah disandang termasuk dilantik sebagai Kadi Tetap pada1968 dan memangku Kadi Besar Melaka pada 1972 sebelum diberi tanggungjawab menjawat jawatan Kadi Besar Wilayah Persekutuan selama enam tahun bermula 1974.

Allahyarham dilantik sebagai Mufti Melaka ketiga pada 16 Ogos 1979 sehingga 1999.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2286
Kongsi :
Previous post Peguam Shafee lepas, bebas kes LHDN dan ubah wang haram RM9.5 juta
Next post Peka penyakit kencing tikus ketika banjir – Dr Akmal
Ubah saiz-+=