Belanjawan 2021: “Belanjawan menyeluruh, tepati segenap spektrum” – KM

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 6 Nov. – Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz disifatkan sebagai menyeluruh dan menepati segenap spektrum.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, dengan pembentangan belanjawan terbesar dan mencipta sejarah iaitu sebanyak RM322.5 bilion, peruntukan itu dilihat mampu memberi pelbagai manfaat buat rakyat dalam pelbagai sektor.

Selain itu, jelasnya, pembentangan tersebut turut mengambil kira impak pandemik COVID-19 ke atas hidup rakyat dengan memberi pelbagai bantuan yang boleh dinikmati.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat yang telah membentangkan sebuah belanjawan yang menyeluruh, menepati segenap spektrum yang boleh dinikmati segenap lapisan masyarakat.

“Kita boleh melihat kerajaan hari ini cukup prihatin terutama kepada rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dengan menyediakan pelbagai bantuan kepada pelbagai sektor dan seluruh lapisan masyarakat tidak mengira bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021 di Auditorium Seri Negeri, sebentar tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Dr. Hasim Hasan dan barisan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Sulaiman turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah berbesar hati memberikan peruntukan penting kepada Negeri Melaka, khususnya dalam sektor pelancongan dan infrastruktur bekalan air.

Jelasnya peruntukan terhadap dua sektor berkenaan berupaya memberi kesan besar kepada negeri yang akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat Melaka di kemudian hari.

Untuk rekod, antara dua pembentangan Belanjawan 2021 yang dikhaskan kepada Melaka ialah peruntukan RM150 juta bagi Projek Penyaluran Air Mentah dari Sungai Kesang dan Tasik Biru ke Empangan Jus Melaka serta peruntukan RM20 juta bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung-kampung Budaya yang dikongsi bersama Terengganu, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Views:

249
Kongsi :
Previous post Belanjawan 2021: “Terima kasih kerajaan” – nelayan
Next post COVID-19: Melaka rekodkan dua kes
Ubah saiz-+=