Belanjawan 2021 Negeri Melaka lulus
AYER KEROH 10 Dis. – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan sebulat suara Belanjawan 2021 Negeri Melaka dalam sesi kedua Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14, sebentar tadi.
Belanjawan bertemakan ‘Melaka Rumahku: Merangka Ekonomi, Membahagiakan Rakyat, Menggamit Dunia’ itu dibentangkan semalam oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.
Dalam undian selepas ucapan penggulungan belanjawan tersebut, ia telah mendapat sokongan daripada seramai 17 ahli, manakala 11 berkecuali.
Belanjawan 2021 Negeri Melaka yang disifatkan mesra rakyat itu memberi fokus utama kepada pemulihan ekonomi pasca COVID-19, selain turut mengutamakan kebajikan rakyat, dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui inisiatif-inisiatif yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat Melaka.
Menariknya, ia turut dicatatkan sebagai belanjawan lebihan (surplus) untuk kali ke-17 berturut-turut dengan memperuntukkan perbelanjaan mengurus sejumlah RM445.86 juta dan jangkaan kutipan hasil berjumlah RM445.96 juta.
Sulaiman dalam ucapan pembentangannya berkata, perbelanjaan mengurus itu merangkumi RM177.54 juta untuk perkhidmatan dan bekalan; RM142.20 juta (pemberian dan kenaan bayaran tetap); RM111.87 juta (emolumen); RM3.97 juta (aset) dan RM0.59 juta (perbelanjaan lain).
Selain itu, sejumlah RM75 juta pula diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan yang mana ia menunjukkan peningkatan RM5 juta berbanding tahun lalu.
Terdahulu, Sulaiman turut mencadangkan pemotongan gaji Ketua Menteri bersama-sama sembilan barisan Pengerusi Jawatankuasa Negeri sebanyak 10 peratus selama 12 bulan bermula Januari hingga Disember 2021 untuk disalurkan ke dalam Tabung Bencana Negeri Melaka. yang mana ia kemudiannya akan disalurkan kepada rakyat.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan kejayaan kerajaan negeri mengurangkan jumlah hutang kira-kira RM178.39 juta kepada Kerajaan Persekutuan iaitu pengurangan sebanyak 21.71 peratus daripada RM821.63 juta pada 2019 kepada RM643.24 juta tahun ini.