Sorting by

×

BELIA JASIN DOMINASI ANUGERAH PERDANA BELIA 2025

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

DUYONG 18 Mei – Belia daerah Jasin mendominasi Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 pada majlis penuh gilang-gemilang yang diadakan di Taman Rekreasi Bukit Serindit, di sini, malam tadi.

Ia selepas wakil belia daerah berkenaan menggondol beberapa gelaran utama yang ditawarkan.

Paling cemerlang adalah dalam kategori Pertubuhan Belia (berkumpulan) apabila wakil Jasin menyapu bersih gelaran johan dan naib johan.

Johan menjadi milik milik Gerakan Belia 4B Cawangan Solok Kilang Berapi yang membawa pulang trofi serta replika cek RM11,000, manakala naib johan dimenangi Gerakan Belia 4B Cawangan Merlimau Pasir yang membawa pulang trofi dan replika cek bernilai RM5,500.

Malam gemilang belia Jasin diteruskan dalam kategori individu wanita apabila tempat pertama hingga ketiga turut dimonopoli wakil daerah berkenaan.

Gelaran johan disandang Asmah Sulaiman, diikuti SS Mayuri selaku naib johan dan tempat ketiga milik M Divinah.

Sementara itu, gelaran johan kategori lelaki pula dirangkul Mohamad Norshah Ezwan Yusof mewakili daerah Melaka Tengah, manakala naib johan milik G Shashindran Raj (Jasin) dan Harris Daniel Hermee (Melaka Tengah) di tempat ketiga.

Johan bagi anugerah kategori individu lelaki dan wanita membawa pulang trofi serta hadiah kemenangan RM3,500 manakala tempat kedua meraih trofi dan wang tunai RM1,900, diikuti tempat ketiga dengan RM800 beserta trofi.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turut merasmikan sambutan berkenaan, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.

Turut hadir, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ahli Undangan Negeri (Adun) Duyong merangkap Timbalan Exco Sains, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta kenamaan lain.

Terdahulu, sambutan itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 belia berbilang kaum di Negeri Melaka.

Selain menyediakan pelbagai aktiviti dan program khusus untuk belia, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis tempatan seperti Wany Hasrita dan lain-lain lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

625
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA EKOSISTEM KONDUSIF UNTUK BELIA – KM
Next post TIGA INISIATIF, STRATEGI BAHARU PERKASA BELIA MELAKA