Sorting by

×

TIGA INISIATIF, STRATEGI BAHARU PERKASA BELIA MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 23 Saat

DUYONG 17 Mei – Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) mencadangkan tiga inisiatif baharu untuk belia Melaka menerusi kaedah pendekatan inklusif, berdaya saing dan mampan.

Presiden MGBM Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, tiga cadangan terbabit adalah ‘Belia Pro Bono’; Ekonomi Malam Belia dan Belia Bangunkan Kawasan Terbengkalai.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri memaklumkan, inisiatif pertama iaitu ‘Belia Pro Bono’ merupakan penyediaan platform untuk golongan profesional muda berbakti.

Mengambil inspirasi dari negara maju, beliau menjelaskan cadangan itu bakal melibatkan golongan belia yang berkhidmat dalam bidang profesional seperti peguam, doktor, jurutera, arkitek untuk memberi khidmat percuma kepada komuniti kurang mampu.

“Cadangan kedua iaitu Ekonomi Malam Belia pula membabitkan konsep mengaktifkan sektor pekerjaan dan keusahawanan belia selepas jam 8 malam seperti bazar malam moden, kafe digital 24 jam, ruang kerja dan seni kontemporari yang mana cadangan ini terinspirasi dari kota London dan Seoul, Korea Selatan.

“Cadangan terakhir pula adalah belia bangunkan kawasan terbengkalai, di mana ia berkonsepkan mandat dan insentif diberikan kepada golongan muda bagi membangunkan semula kawasan terbengkalai seperti bangunan lama dan kawasan terbiar dengan idea seperti galeri seni, penternakan vertikal serta ‘urban forest’ dan pelbagai lagi dengan mengambil inspirasi dari kejayaan di Osaka, Jepun; Medellin, Colombia dan Detroit di Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2025 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Taman Rekreasi Bukit Serindit, di sini, malam tadi.

Fb img 1747505807344
ANTARA belia yang memeriahkan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2025. Foto Pejabat Ketua Menteri

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Sains, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Khaidhirah turut mencadangkan tiga strategi menarik minat generasi muda menyertai persatuan belia dan seterusnya memastikan pertubuan belia kekal relevan di negeri ini.

“Strategi pertama membabitkan ‘Belia Membership Rewards’ berkonsepkan sistem mata ganjaran buat ahli aktif dan mata ganjaran boleh ditebus untuk tiket konsert, acara sukan serta pelbagai lagi menerusi kerjasama dengan agensi swasta dan kerajaan.

“Seterusnya ‘Belia Networking Night’ berkonsepkan sesi jaringan sosial dan profesional secara santai, sebagai contoh mengadakan aktiviti makan malam eksklusif, barbeku dan forum mini dengan menjemput pempengaruh, tokoh politik muda serta penceramah motivasi.

“Manakala strategi terakhir adalah ‘Persatuan Belia Tanpa Hadir Fizikal’ bagi membolehkan kehadiran ahli secara digital dengan mengadakan program seperti webinar mini; pemilihan digital isu belia; kuiz mingguan atau tugasan interaktif di platform media sosial, di mana ia diyakini dapat memberi nilai tambah kepada ahli yang sibuk dapat terlibat tanpa tekanan menghadirkan diri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

808
Kongsi :
Previous post BELIA JASIN DOMINASI ANUGERAH PERDANA BELIA 2025
Next post BERAS MELAKA BUKTI KOMITMEN KERAJAAN NEGERI JAMIN BEKALAN BERAS MURAH UNTUK RAKYAT