Berbaju sedondon di Hari Deepavali

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

GADEK 4 Nov – Sambutan perayaan Deepavali yang juga dikenali sebagai Pesta Cahaya di negeri ini disambut dalam norma baharu dengan kebanyakan anak perantau pulang ke kampung menyambutnya bersama keluarga selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas sempadan.

Sambutan Deepavali yang menandakan kemenangan oleh kuasa kebaikan terhadap kuasa kejahatan atau simboliknya ditujukan dalam erti cahaya yang menerangi kegelapan, turut dimeriahkan dengan tradisi kunjung mengunjung rumah saudara dan sahabat handai, sekali gus melambangkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini di Kuil Sri Sithi Vinaiyagar Sri Balasupramaniarparibalana, di sini,  mendapati rata-rata penganut agama Hindu berkunjung ke kuil itu dengan memakai pakaian berwarna-warni selain turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

ANTARA penganut agama Hindu ketika melakukan upacara sembahyang dalam Kuil Sri Sithi Vinaiyagar Sri Balasupramaniarparibalana.

Bagi S Jeya Santhy Anesan, 43 tahun, berkunjung ke kuil setiap pagi perayaan adalah perkara wajib yang dilakukan oleh dia sekeluarga.

Penjawat awam yang bekerja di Ipoh, Perak itu berkata, Deepavali tahun ini dinanti penuh debaran buat seisi keluarganya apabila sudah dua tahun tidak dapat menyambut perayaan itu bersama keluarga.

Justeru, sejurus mendapat lampu hijau untuk meraikan perayaan itu, dia dan keluarga segera merancang untuk memakai pakaian sedondon di pagi Deepavali sebagai tanda kenang-kenangan beraya dalam suasana norma baharu.

“Masa dapat tahu boleh rentas negeri je kami sekeluarga terus tempah baju raya sedondon untuk dipakai pada hari ini (Deepavali).

“Seronok dapat pulang ke kampung jenguk ibu bapa, saudara mara, selepas selesai di kuil ini, kami sekeluarga akan pergi ke rumah saudara-mara dan rakan-rakan,” katanya.

Sementara itu, bagi S Saraswathy, 43, katanya, penganut Hindu memulakan hari istimewa itu dengan melakukan upacara mandi minyak pada awal pagi dan mengenakan pakaian tradisional baharu dan berwarna-warni.

“Selepas menyiapkan juadah di rumah, kami sekeluarga ke sini bukan saja untuk sembahyang, malah ia memberi kami peluang untuk merapatkan hubungan persaudaraan antara keluarga dan rakan-rakan.

“Perayaan Deepavali disambut sehingga Ahad ini maka saya menjangkakan saudara mara akan mengambil peluang untuk datang melawat pada hujung minggu,” katanya.

Dalam pada itu, R Preveena, 19, berkata kemeriahan sambutan Deepavali tahun ini dilihat berbeza kerana disambut dalam keadaan norma baharu.

Jelasnya, meskipun begitu, dia tetap meneruskan kelaziman menyediakan juadah serta manisan di awal pagi sebelum berangkat ke kuil dan melawat sanak saudara terdekat di sebelah petang.

R Preveena

“Deepavali dalam norma baharu amat berbeza, banyak perkara perlu dipatuhi,  yang biasa adalah kami kaum wanita akan bangun awal pagi dan membantu ibu menyiapkan juadah sebelum bergerak ke kuil bersembahyang dan mendoakan orang tua atau saudara mara yang sudah meninggal dunia.

“Jadi di sebelah petang, melawat sanak saudara yang lama tidak bertentang mata, namun, apa pun kemeriahan sambutan Deepavali tetap dapat dirasakan meskipun banyak perubahan sudah berlaku,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1730
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: BN tampil ramai calon bawah 50 tahun, termuda 20-an – Isham
Next post 100 penguatkuasa KPDNHEP pantau kenaikan harga barang sempena PRN
Ubah saiz-+=