Sorting by

×

BERGAMBAR DENGAN BOT ‘ZEBRA’, DAPAT DISKAUN ZOO MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 16 Julai – Orang ramai berpeluang menikmati diskaun istimewa sebanyak 10 peratus bagi pembelian tiket masuk ke Zoo Melaka dengan hanya merakam gambar bersama bot zebra di Sungai Melaka.

Tawaran itu diberikan menerusi Pertandingan Bergambar Dengan Bot Zoo Melaka yang berlangsung sepanjang tahun ini.

Zoo Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan kempen berkenaan dianjurkan sebagai antara promosi istimewa diberikan dalam menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri ini bersempena Tahun Melawat Melaka 2.0.

Jelas kenyataan tersebut, orang ramai hanya perlu mengambil gambar sama ada secara swafoto atau berkumpulan bersama bot Zoo Melaka di Melaka River Cruise dan memuat naik gambar tersebut ke Facebook atau Instagram.

“Gambar yang dimuat naik itu perlu ‘tag’ akaun rasmi Zoo Melaka Official dan seterusnya mengimbas kod QR yang disediakan, mengisi maklumat yang diperlukan serta memuat naik gambar berkenaan sebagai bukti penyertaan,” kata Zoo Melaka.

Tambah kenyataan tersebut, bagi menebus diskaun tersebut, orang ramai perlulah menunjukkan bukti penyertaan dan gambar di kaunter tiket Zoo Melaka bagi tujuan pengesahan.

“Setiap penyertaan yang sah akan menerima diskaun 10 peratus bagi satu pembelian tiket masuk ke Zoo Melaka.

“Ia hanya sah digunakan untuk satu kali pembelian tiket ke Zoo Melaka sahaja dan gambar yang kurang jelas serta digunakan berulang kali adalah tidak sah,” tambah kenyataan itu.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan tersebut, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi Zoo Melaka di Facebook atau Instagram @zoomelakaofficial.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

338
Kongsi :
Previous post TAMAN PENDAMAR INDAH PERUMAHAN BERKUALITI, PENUHI KEPERLUAN KELUARGA MODEN