Bina insinerator selepas terima peruntukan pusat – KM

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KOTA LAKSAMANA 25 Oktober – Pembinaan Loji Sisa Ke Tenaga (WTE) atau insinerator yang dicadangkan di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang akan dilaksanakan selepas Kerajaan Negeri menerima peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pembinaan insinerator adalah keutamaan Kerajaan Negeri, khusus dalam memberikan keselesaan kepada pemilik kediaman sekitar pusat pelupusan sampah berkenaan.

“Saya difahamkan tahun 2026 akan dilaksanakan. Mahu bina insinerator bukan boleh suka-suka, banyak proses dan perkara perlu diambil kira, kita tidak mahu projek ini gagal kerana ia membabitkan kos tinggi.

“Cuaca kita juga tidak sama dengan negara empat musim. Pada musim sejuk kurang mengeluarkan bau, jadi saya harap penduduk bersabar, Kerajaan Negeri berharap projek ini dapat dilaksanakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Petugas Sektor Pembersihan Negeri Melaka, di Dewan Hang Tuah, hari ini.

Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan Melaka bakal muncul negeri pertama memiliki Loji Rawatan Termal (insinerator) terbesar di Malaysia.

Kemudahan itu mampu melupuskan 1,000 tan sisa pepejal sehari sebelum diproses menjadi tenaga untuk disalurkan kepada grid Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi menjana tenaga elektrik.

Loji berkenaan dibina melalui konsep inisiatif pembiayaan swasta (PFI) oleh syarikat kontraktor yang mampu menghasilkan tenaga dan bahan sampingan lain untuk kegunaan pelbagai industri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1790
Kongsi :
Previous post Tebatan banjir di Durian Tunggal akan dilaksanakan
Next post Tambahan stok 30 peratus kepada peruncit di musim banjir – KPDNHEP Kelantan
Ubah saiz-+=