
BINAAN BAHARU MELAKA DIBERI NAMA PAHLAWAN MELAYU – KM
DUYONG 25 Oktober – Setiap binaan baharu di negeri ini akan diberi nama pahlawan-pahlawan Melayu Melaka, umum Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, inisiatif itu sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka yang telah banyak menabur bakti di negeri ini.
“Bukan itu sahaja, melalui usaha ini, saya yakin generasi baharu akan menyanjung dan menghayati keagungan sejarah bangsa kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Lestari Seni Budaya – Majlis Perasmian Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka 2025 di Dataran Pengkalan Rama.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka Mohd Radzi Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris; Pengarah JKKN Negeri Melaka Ezlina Alias serta lain-lain kenamaan.
Terdahulu, Ab Rauf telah merasmikan sebuah jambatan baharu di Sungai Melaka yang diberi nama Jambatan Dang Merdu Wati iaitu nama ibunda kepada pahlawan Melayu tersohor Hang Tuah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


