BN boleh menang semua kerusi DUN dalam Parlimen Masjid Tanah – Najib

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

TANJUNG BIDARA 24 Okt – Pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak yakin UMNO dan BN boleh menang kelima-lima Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Parlimen Masjid Tanah berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini.

Jelasnya, Parlimen Masjid Tanah sebelum ini dikuasai BN, namun ahli parlimen berkenaan telah lompat parti.

Menurut beliau, keyakinan itu dicapai melalui tinjauan positif yang diterima daripada penduduk Masjid Tanah terhadap UMNO dan BN setakat ini.

“Boleh dikatakan Masjid Tanah ini kawasan kubu kuat BN dan kelima-lima DUN ini BN akan menangi.

“Kalau sebelum ini ketika berlaku tsunami politik namun BN tetap menang semua DUN Parlimen Masjid Tanah dan insyaAllah dengan keadaan hari ini yang bertambah baik, ini satu petanda kita dapat pertahankan kelima-lima kerusi DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program Ziarah Kasih yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan itu meluangkan masa bersarapan bersama penduduk di Masjid Tanah dan mengunjungi empat buah rumah penduduk yang sakit terdiri daripada bekas kakitangan awam dan ketua UMNO di kawasan itu.

UMNO sebelum ini bertegas ingin meletakkan calon bertanding di kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU-15 memandangkan ia adalah kerusi tradisi parti itu.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

881
Kongsi :
Previous post 94.5 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi
Next post Agihan kerusi BN di PRN Melaka ditentukan esok – Rauf
Ubah saiz-+=