BN Melaka janji pinda Melaka Land Rules 1966

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SERI BENDAHARA 19 Nov – Barisan Nasional (BN) Melaka berjanji akan meminda Melaka Land Rules 1966 sekiranya diberi mandat mentadbir Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, kata Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, melalui pindaan tersebut, ia akan mempermudahkan urusan mengenai urus niaga tanah di negeri ini.

Katanya lagi, dengan pindaan itu, proses permohonan lanjutan pajakan tanah juga akan dipercepatkan.

“Jadi urus niaga ini akan kita percepatkan. Saya kata kalau 10 tahun tempoh pajakan tamat, maka mereka sudah boleh memohon semula lanjutan pajakan.

“Sebelum ini mereka terpaksa menunggu saat-saat akhir untuk membuat permohonan semula pajakan tanah, tapi selepas ini pemilik kampung baru dan rumah kedai boleh memohon pelanjutan tempoh pajakan lebih awal berbanding sebelum ini,” katanya dalam sidang media khas di kediaman rasmi Ketua Menteri, di sini, hari ini.

Justeru, Sulaiman menyeru masyarakat Cina dan India di negeri ini agar memberi sokongan kepada BN memandangkan mereka juga akan menerima manfaat besar daripada manifesto lima tahun yang ditawarkan.

“Saya mahu semua kaum terlibat dengan kerajaan. Sebab itu saya mohon agar diberi peluang kerana perlu ada suara kepelbagaian dalam kerajaan BN kerana bila ada semua suara, ia akan memudahkan untuk mengurus dan mentadbir negeri ini.

“Jadi saya merayu kepada keluarga besar Melaka berilah mandat sebaiknya kepada BN kerana saya yakin dengan pengalaman lebih 60 tahun mentadbir dan mengurus negeri-negeri kita mampu menjadikan Melaka aman dan harmoni,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

752
Kongsi :
Previous post MyKad hilang, rosak? Tiada alasan tidak mengundi esok
Next post ‘Kalau betul PAS sokong, saya ucap terima kasih’ – Sulaiman
Ubah saiz-+=