BN sedia gerak solo hadapi PRN

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

MASJID TANAH 23 Okt. – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika tiada kesepakatan dengan parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN berkata, meskipun sebarang keputusan telah ditentukan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) namun jentera UMNO dan BN perlu berusaha keras memenangi pilihan raya itu.

“Kita kena bersedia apa jua keadaan yang mungkin, kita ada pilihan dari segi perlukan pihak lain bersetuju apa yang kita cadangkan.

“Ada beberapa kekangan dan cabaran yang perlu kita cari, satu kata sepakat. Kalau tak dapat kata sepakat, apakan daya, kita terpaksa bertanding solo atas (tiket) BN.

“Kalau ada kata sepakat boleh diterima oleh UMNO, itu jalan membantu kita, apapun kita mesti bersedia untuk berusaha sedaya upaya yang boleh,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama jentera UMNO di Masjid Tanah.

Beliau berkata, rata-rata rakyat kini semakin merindui kehidupan di era pentadbiran BN, selepas membuat perbandingan kerajaan terdahulu.

“Terbukti selama ini sebab mereka (rakyat) ada peluang buat perbandingan waktu BN, PH (Pakatan Harapan) dan PN (Perikatan Nasional)

“Mereka dah boleh buat perbandingan dan rata-rata mereka kata dah rindu zaman BN.

“Kita harap itulah dia dalam ingatan dalam minda pengundi di Melaka,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

699
Kongsi :
Previous post ‘Saya bukan Pengarah PRN Melaka’ – Najib
Next post Yayasan Keluarga Malaysia bantu pendidikan generasi muda – PM
Ubah saiz-+=