Sorting by

×

BOMBA MELAKA KELUARKAN KOMPAUN KESALAHAN LIBATKAN PILI BOMBA, PENGGERA KEBAKARAN

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 12 November – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengenakan hampir 30 kompaun terhadap individu serta pemilik kenderaan melakukan pelbagai kesalahan berkaitan pili bomba dan sistem penggera kebakaran bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at berkata daripada jumlah itu, 19 kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) manakala 10 lagi di bawah Seksyen 55 akta sama.

Katanya, kesalahan di bawah Seksyen 26 melibatkan tindakan menutup, mengepung atau menyembunyikan pili bomba, mengganggu penggunaannya serta menggunakan pili bomba bagi tujuan selain menentang kebakaran.

“Manakala Seksyen 55 pula melibatkan perbuatan merosakkan, menyembunyikan, mengaktifkan atau menyahaktifkan penggera kebakaran tanpa sebab munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulan November 2025 JBPM Melaka, sekali gus menyempurnakan Majlis Pelancaran MTL 2025/2026 di Ibu Bejabat JBPM Melaka, Bukit Katil, di sini, semalam.

Whatsapp image 2025 11 11 at 4.02.37 pm

SEBANYAK 19 kompuan dikeluarkan mengikut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) bagi kesalahan melibatkan pili bomba.

Mohd Zaidi berkata, kompuan berjumlah RM100 itu dikeluarkan kepada individu dan pemilik kenderaan berikutan pelanggaran dikesan adalah kesalahan kali pertama.

“Walaupun nilai denda itu kecil, ia bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak mengambil mudah kepentingan pili bomba dan jika kesalahan berulang, jumlah kompaun boleh dikenakan sehingga RM500 selain tindakan pendakwaan,” jelasnya.

Menurut beliau, terdapat juga kes pili bomba tertimbus akibat kerja penurapan jalan yang dijalankan tanpa pemantauan rapi oleh kontraktor.

“Pili bomba jenis bawah tanah (underground chamber) biasanya tidak kelihatan di permukaan yang mana apabila diturap semula, ia terus hilang jadi kita telah kenal pasti beberapa kes seperti ini dan bekerjasama dengan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dan JKR (Jabatan Kerja Raya) untuk memperbaikinya,” katanya.

“Kerjasama antara jabatan, PBT, kontraktor dan masyarakat amat penting. Jika semua pihak memainkan peranan, insya-Allah tiada lagi isu pili bomba tersembunyi atau tidak berfungsi,” katanya.

Dalam pada itu, JBPM Melaka kini memantau lebih 18,000 pili bomba di seluruh negeri, termasuk 16,000 pili awam dan 2,000 lagi milik swasta.

Katanya, bagi memantau semua pili berkenaan, JBPM Melaka telah melantik lebih 4,000 individu sebagai Teman Pili Bomba yang berdaftar di peringkat komuniti.

“Namun jumlah Teman Pili Bomba masih belum mencukupi untuk memantau kesemua pili yang ada, jadi, kita amat mengalu-alukan kerjasama masyarakat setempat untuk berdaftar dan melaporkan sebarang kerosakan atau penyalahgunaan pili bomba,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

577
Kongsi :
Previous post PEMBENTANG ANTARABANGSA SRI LANKA, INDONESIA KONGSI ILMU DI SIMPOSIUM MELAYU MELAKA
Next post TERIMA KASIH MSN, KERAJAAN NEGERI HARGAI KEGIGIHAN ATLET- CHEONG MIN