Buang Al-Quran: Dua lagi individu dirakam keterangan

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Polis telah selesai mengambil keterangan dua lagi individu bagi membantu siasatan berhubung penemuan 13 naskhah al-Quran dipercayai sengaja dibuang individu tidak bertanggungjawab ke dalam longkang di Tasik Sri Murni, Jinjang, di sini, pada 18 Feb lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata dua individu itu termasuk wakil syarikat percetakan dan syarikat yang membuat tempahan bagi naskhah al-Quran berkenaan.

Beliau berkata siasatan kes itu masih diteruskan.

“Polis telah ke Kelantan baru-baru ini dan telah mengenal pasti syarikat yang mencetak al-Quran tersebut serta syarikat yang membuat tempahan ke atas al-Quran terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sebelum ini, polis telah mengambil keterangan lapan individu termasuk mereka yang ada dalam video tular berhubung kejadian tersebut bagi membantu siasatan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dengan tujuan mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama.

Sebelum ini, seorang wanita tempatan yang juga Ahli Kesatuan Nelayan Kebangsaan membuat laporan polis yang memaklumkan beliau menemukan beberapa naskhah kitab suci itu di dalam longkang.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

924
Kongsi :
Previous post Suruhanjaya Pasukan Polis tentukan calon Timbalan Ketua Polis Negara – KPN
Next post Bomba selamatkan lapan pekerja pasar raya terperangkap di rumah kedai
Ubah saiz-+=