Bukit Gapis punya tarikan tersendiri

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

ASAHAN 20 Feb – “Saya sebagai anak jati Asahan memang bangga bila dapat tahu Bukit Gapis bakal menjadi produk baharu pelancongan yang perlu diperluaskan.

“Sebagai pendaki tegar ini kali pertama saya mendakinya dan memang merancang untuk melakukannya lagi sekali,” kata Norahimah Abu Hasan, 38 yang merupakan antara peserta wanita yang menyertai kembara pendakian ke puncak Bukit Gapis, di sini hari ini.

Katanya, pengalaman pertama mendaki puncak tertinggi di Melaka mempunyai ciri kelainan tersendiri yang perlu dirasai oleh pendaki lain.

“Trek hari ini memang ada perbezaannya kerana ia mempunyai empat ‘checkpoint’ sebelum sampai ke puncak.

“Kalau nak panjat gunung ini persediaan stamina fizikal dan mental perlu dipertingkatkan dan perlu ada persediaan awal sebelum nak mendaki

“Keadaan trek yang pada awalnya dilihat mendatar dan apabila ke kawasan yang semakin tinggi ia semakin mencabar sebelum sampai ke puncak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

NORAHIMAH

Ujarnya, kedudukan dan tarikan yang terdapat pada Bukit Gapis perlu diperluaskan agar peminat sukan ekstrem khususnya pendaki mampu menjadikan lokasi itu sebagai kawasan tumpuan yang akhirnya akan memberi manfaat dalam sektor pelancongan Melaka.

Katanya, dia berharap kawasan rekreasi itu terus dipromosi menerusi media sosial selain perlu pembangunan kemudahan dan infrastruktur bagi menarik lebih ramai peminat sukan ke negeri ini.

Seorang lagi peserta, Raja Faidi Azman Raja Samad, 40 berkata, pengalaman lebih sejam mendaki Bukit Gapis bersesuaian dengan semua peringkat umur kerana baginya pendakian kali ini tidaklah sukar berbanding pendakiannya sebelum ini.

Dia yang kali kedua mendaki Bukit Gapis turut berkongsi pengalaman dan cabaran yang perlu ditempuh pendaki iaitu pada kawasan mendatar dan kawasan cerun yang tinggi.

“Beza Bukit Gapis ia ada tempat yang mudah dan ada tempat yang mencabar dan kawasan in berbeza seperti tempat tempat pendakian lain di negara ini.

“Ramai pendaki yang minat dalam aktiviti ini mahukan pulangan sebaik mereka sampai ke puncak iaitu keadaan pemandangan yang indah kerana ia sudah cukup melepaskan kepenatan dihadapi.

“Jadi kita harap pelbagai lagi pembangunan di puncak ini seperti membangunkan satu platform untuk pendaki agar dapat melihat pemandangan dengan lebih jelas lagi,” katanya.

RAJA Faidi Azman

Terdahulu dalam kembara yang diadakan menerusi Program ke PUNCAK bersama Along telah dimulakan seawal jam 8.30 pagi tadi disertai kira-kira 60 peserta membabitkan penduduk di kawasan itu.

Pendakian kali ini juga turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan bagi meninjau keadaan kawasan yang berpotensi diketengahkan bagi membangunkan sektor kawasan pelancongan baharu di Melaka.

Pendakian kira-kira dua jam sebelum ke puncak Bukit Gapis setinggi 486 meter dari aras laut itu disertai pelbagai peringkat golongan penduduk Asahan termasuk wanita dan warga emas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1651
Kongsi :
Previous post RM150 juta untuk Johor laksana perkhidmatan myBAS – Wee Ka Siong
Next post Usah terbuai dengan kejayaan BATC 2022 – Zii Jia
Ubah saiz-+=