Sorting by

×

Cadang permudah bayaran tol guna kad debit

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 16 Februari – Sistem pembayaran tol terbuka menggunakan pelbagai mod pembayaran termasuk kad debit menjadi antara perkara yang dicadang Kementerian Kerja Raya untuk dilaksanakan di negara ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, untuk itu perbincangan dan rundingan akan disegerakan bersama Kementerian Kewangan (MOF) serta syarikat konsesi berkaitan bagi membolehkan ia dilaksana dengan kadar segera.

“Memang kita bercadang untuk perkara ini dibuat secepat mungkin (kerana) kita perlu menguji dahulu sistem tersebut bagi melihat adakah ia terbaik sebelum diguna pakai di seluruh negara.

“Perbincangan juga sudah dibuat bersama MOF kerana ia akan melibatkan implikasi kewangan dan selepas semua pihak berpuas hati dengan sistem itu baharu akan diputuskan,”katanya pada sidang media selepas merasmikan Pengecas Berkelajuan Tinggi TNB Electron di Hentian R&R Ayer Keroh Arah Utara, di sini, hari ini.

Dalam pada itu mengulas mengenai pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa henti (MLFF), Alexander memaklumkan ia dijangka bakal dimulakan sebelum 2025.

“Memang ada sasaran untuk melaksanakan MLFF sebelum 2025, tetapi kita akan usaha untuk buat lebih awal. Namun banyak isu teknikal dan perundangan yang perlu dilihat dan kajian berhubung sistem itu sedang dilakukan.

“Kita tidak boleh ikut sepenuhnya seperti dilakukan di negara luar kerana mungkin kita boleh buat lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1310
Kongsi :
Previous post Lebuh raya Malaysia ‘mesra’ kenderaan elektrik
Next post R&R dicadang sedia Menu Rahmah – Menteri
Ubah saiz-+=