
CAJ PARKIR HOSPITAL BERMULA 1 JUN, MELAKA USAHA MOHON KADAR LEBIH RENDAH
AYER KEROH 3 Jun – Pelaksanaan caj parkir di Hospital Melaka yang mula berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu diteruskan kerana ia melibatkan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, bagaimanapun Kerajaan Negeri masih akan mengemukakan cadangan penambahbaikan termasuk memohon kadar caj yang lebih rendah dan munasabah.
Jelas beliau, meskipun sistem parkir berbayar itu telah dimeterai melalui kontrak antara KKM dan pihak konsesi namun perbincangan masih boleh dilakukan bagi menambah baik pelaksanaannya.
“Kerajaan Negeri telah mencadangkan agar kadar caj parkir ditetapkan pada tahap minimum iaitu sekitar RM1 atau kadar lebih rendah sekiranya dipersetujui pihak berkaitan.
“Pelaksanaan ini di bawah KKM kerana kontrak telah ditandatangani di peringkat Persekutuan namun Kerajaan Negeri telah mengemukakan cadangan supaya kadar yang dikenakan tidak membebankan rakyat.
“Tujuan utama pelaksanaan sistem ini adalah untuk mengatasi masalah parkir lama dan tidak terkawal di kawasan hospital selain menambah baik pengurusan ruang parkir sedia ada,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, pelaksanaan sistem berkenaan turut melibatkan syarikat konsesi yang bertanggungjawab melaksanakan naik taraf kemudahan parkir melalui kaedah pelaburan serta kontrak jangka panjang.
Tambahnya, beberapa negeri lain turut melaksanakan sistem sama, namun ia bergantung kepada keperluan serta keadaan fasiliti hospital masing-masing dan di Melaka hanya Hospital Melaka dikenakan caj parkir.
“Kerajaan Negeri memahami keperluan rakyat dan sebab itu kita mencadangkan kadar yang lebih rendah serta pendekatan yang lebih mesra pengguna.
“Walaupun Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa langsung dalam menentukan pelaksanaan kontrak tersebut, kita akan terus memainkan peranan dalam menyuarakan pandangan demi kepentingan rakyat.
“Kita akan terus berbincang dengan pihak KKM supaya pelaksanaan ini dapat ditambah baik dan tidak membebankan pengguna hospital dalam masa terdekat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

