Caj potong ayam tidak salah

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

PENGKALAN BATU 12 April – “Tindakan ini bukan suka-suka sebaliknya untuk meringankan beban kami susulan pelaksanaan harga kawalan,” kata peniaga ayam Ke Jok Kwee.

Beberapa hari lalu peniaga ayam di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bachang, di sini, sepakat mengenakan caj tambahan RM0.60 sebagai upah keatas pembeli yang ingin memotong ayam.

Menurut Jok Kwee, sepanjang 45 tahun berniaga ini kali pertama caj memotong ayam dikenakan kepada pembeli memandangkan keuntungan diperoleh amat tipis berikutan harga kawalan ayam RM8.90 satu kilogram (kg).

PENIAGA ayam Ke Jok Kwee.

“Disebabkan kenaikan harga dedak kami turut terkesan apabila kini pemborong dan peladang mula mengenakan caj pengangkutan.

“Kini harga tidak dapat dinaikkan lagi sebab harga kawalan malah caj pengangkutan pula dikenakan.

“Saya berniaga sudah 45 tahun tidak pernah ada caj tetapi kali ini terpaksa,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar MBMB Bachang.

Perkara sama turut disuarakan peniaga Hanafi Md Amin, yang mengatakan harga RM8.90 bagi satu kg ayam dianggap sudah tidak relevan menyebabkan upah caj pemotongan ayam RM0.60 dikenakan.

HANAFI Md Amin

“Kalau kita naikkan harga akan dikompaun jadi dengan caj ini sedikit sebanyak dapat membantu kami peniaga.

“Dengan harga sekarang untung hanya kira-kira 20 sen, bagaimana peniaga hendak tampung kos api, air dan upah pekerja,” katanya.

Menurutnya, peniaga sedikit sebanyak dapat menarik nafas lega apabila kebanyakkan pembeli faham dengan caj dikenakan dan tidak mempersoalkannya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Norena Jaafar berkata, tindakan mengenakan caj pemotongan ayam oleh peniaga tidak salah kerana ia adalah upah untuk perkhidmatan.

“Ini terpulang kepada pembeli sama ada bersetuju atau tidak kerana bukan paksaan. Jika mereka hendak potong maka dia bersetuju untuk bayar caj RM0.60.

“Contohnya sama seperti kita beli gas, kalau minta dihantar ke rumah pasti dikenakan caj, jadi ini caj tambahan yang penjual tawarkan kepada pembeli,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1229
Kongsi :
Previous post PDRM terima 35 laporan babitkan 45 warga tempatan terkandas di luar negara
Next post Tiket bas balik raya habis!
Ubah saiz-+=