Sorting by

×

Cat semula, tambah papan tanda Makam Hang Tuah

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PANTAI KUNDOR 22 September – Persekitaran Makam Hang Tuah di Tanjung Kling akan diperindahkan lagi termasuk melaksanakan kerja mengecat semula bagi menarik kunjungan lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ahli Dewan Undangan (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, ketika ini Makam Hang Tuah adalah di bawah seliaan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan sebarang perancangan di kawasan itu tidak boleh dilakukan sembarangan.

Bagaimanapun katanya, aktiviti seperti gotong-royong bagi mengindahkan persekitaran Makam Hang Tuah masih boleh dilaksanakan bagi memastikan lokasi bersejarah itu sentiasa dalam keadaan bersih dan kemas.

“Bagi kerja mengecat semula warna asalnya mungkin kita kekalkan dan bagi tujuan itu saya akan menghantar surat makluman kepada Perzim.

“Difahamkan Makam Hang Tuah ini sudah lama tidak dicat, jadi ia perlu dinaik taraf,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Gotong-royong Perdana Bersama YB Pantai Kundor dan Orang Diparol (ODP) di Makam Hang Tuah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penjara Negeri Melaka, Datuk Roslan Mohamed dan Komandan Institut Koreksional Malaysia (IKoM), Penolong Kanan Komisioner Penjara Mohd Zaidi Alias.

Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, pihaknya juga memohon kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menambah papan tanda arah sebagai panduan buat pelancong mahu singgah ke makam itu.

“Kita akan cadangkan kepada PBT untuk meletakkan papan tanda arah di sempadan Pantai Kundor supaya kawasan warisan sejarah ini lebih diketahui kewujudannya, saya percaya ramai yang tidak tahu ada Makam Hang Tuah di sini.

“Yang mana (papan tanda) kurang, kita tambah dan yang mana rosak, kita betulkan, inilah sebenarnya fungsi kepimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk memaklumkan sebarang kekurangan.

“Dalam peta pelancongan, memang sudah ada dan jarak makam itu dari bandar Melaka dimaklumkan sejauh 17.5 kilometer. Namun untuk penambahbaikan supaya mudah untuk pelancong berkunjung ke makam itu, memerlukan lebih banyak papan tanda terutama di kawasan sempadan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1073
Kongsi :
Previous post Kutipan zakat Melaka meningkat 15.53 peratus
Next post Tiga projek PR1MA Melaka siap 2024
Ubah saiz-+=