Chakiak dan Srekop Laok tarikan utama Pameran Manik

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KOTA LAKSAMANA 20 Jun – Chakiak atau terompah dan srekap laok iaitu tudung saji disulam manik halus berusia lebih 70 tahun antara tarikan utama dalam Pameran Manik Peranakan Cina di Rumah Persatuan Peranakan Cina Melaka di sini hari ini.

Menurut pemiliknya, Elaine Ang Hwee Chin atau mesra dipanggil nyonya Elaine berkata tudung saji itu milik keluarganya sejak dari keturunan nenek moyangnya dan menjadi barang pameran untuk menunjukkan seni jahitan manik bukan sahaja pada kasut.

Katanya, seni manik peranakan itu turut dijahit pada bag, pakaian pengantin dan sarung bantal pada zaman dahulu untuk menunjukkan kaum peranakan penuh dengan campuran adat dan budaya menjadikan kaum itu unik.

“Pada zaman nenek moyang dahulu, srekop laok ini dibuat menggunakan daun nipah, sebelum di selek atau dicat dengan warna merah dan emas menggunakan lakuer dari Palembang, dan hujungnya dijahit rapi bersama benang khas untuk mengukuhkan lagi penghasilan tudung saji ini.

“Ia bukan sahaja kelihatan cantik, malahan dengan ditambah sulaman manik halus berunsurkan bunga-bungaan pada tengah sumbu srekop menampakkan kesenian budaya peranakan dalam setiap barangan dalam rumah.

“Srekop laok ini digunakan untuk menutup lauk pauk yang dimasak didapur dan tiada lubang udara dibuat bagi mengelakkan kemasukan serangga atau lalat hinggap pada makanan,” ujarnya kepada Melaka Hari Ini.

CHAKIAK atau terompah yang diperbuat dari kayu dan gading gajah menjadi kasut wanita peranakan pada zaman dahulu

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Pameran Manik Peranakan Cina di Rumah Persatuan Peranakan Cina di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nyonya Elaine turut menunjukkan chakiak atau terompah yang diguna pakai wanita-wanita zaman dahulu.

Ujarnya, chakiak merupakan kasut atau selipar yang dipakai harian yang diperbuat dari kayu dan gading gajah.

Tambahnya, seni pembuatan chakiak mudah, untuk memakai hanya perlu mengepit ibu jari kaki dengan jari telunjuk kaki.

“Apa yang uniknya chakiak ini juga digunakan sebagai alat mempertahan diri nyonya-nyonya zaman dahulu, jika berlaku apa-apa yang tidak diingini, mereka akan ambil chakiak ini dan baling atau ketuk si pelaku.

“Kesenian orang zaman dahulu meliputi segala aspek, termasuk aspek keselamatan,” ujarnya yang juga merupakan Pensyarah Bahasa Inggeris di sebuah universiti swasta di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1623
Kongsi :
Previous post Kasut manik seni halus budaya Peranakan
Next post Kerana cinta, tekad belajar seni menjahit
Ubah saiz-+=