Cili Melaka @ Cabai Melaka bakal diperkenalkan

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 23 Feb. – Kerajaan negeri bercadang untuk memperluaskan tanaman cili di negeri ini dan mewujudkan satu jenama cili baharu iaitu Cili Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, ia berikutan permintaan cili dalam dan luar negara kini semakin meningkat memandangkan ia mempunyai pelbagai fungsi lain bukan sahaja sebagai makanan.

Jelasnya, sekiranya pemasaran Cili Melaka dapat diperhebatkan, tidak mustahil untuk negeri ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang pertanian moden.

SULAIMAN meneliti cili yang ditanam ketika melawat ke projek tanaman cili hasil kerjasama Yayasan Melaka dan GraciGate Berhad (GraciCili) di Bandar Hijau, di Ayer Keroh.

“Tidak kiralah sama ada kita menamakannya sebagai Cili Melaka atau Cabai Melaka sekali pun, jika kita berjaya tularkan kehebatan cili yang ditanam di Melaka, tidak mustahil ia akan menjadi terkenal suatu hari nanti.

“Mungkin selepas ini ramai yang nak merasai kelazatan Cili Melaka yang kita tuai dan itu akan membuka satu bentuk pasaran baharu dalam negara,” katanya.

SULAIMAN (tengah) diberi penerangan oleh Yusof mengenai pokok cili yang ditanam ketika melawat ke projek tanaman cili hasil kerjasama Yayasan Melaka dan GraciGate Berhad (GraciCili) di Bandar Hijau, di Ayer Keroh.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan ke projek tanaman cili hasil kerjasama Yayasan Melaka dan GraciGate Berhad (GraciCili) bertempat di Bandar Hijau, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan, Timbalan Speaker Dewan Negara merangkap Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Melaka Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Pengurus Besar Yayasan Melaka Datuk Yusof Jantan.

Sulaiman berkata, ladang seluas kira-kira 6.88 hektar itu merupakan projek pembangunan tanah secara pertanian terperinci iaitu projek ladang cili secara fertigasi yang menggunakan teknologi hijau dan pintar, Internet of Things (IoT) yang diusahakan hasil kerjasama Yayasan Melaka dan GraciGate Berhad melalui anak syarikatnya GraciCili.

Beliau berkata ia selaras dengan sebahagian daripada lebih 40 ‘touch point’ yang telah disebutkan dalam Belanjawan 2021 Negeri Melaka iaitu Insentif Membangunkan Ekonomi Rakyat bagi usahawan tani, usahawan belia dan juga usahawan asnaf.

Menurutnya lagi, syarikat berkenaan kini menyasarkan ladang kontrak seluas 323.75 hektar di Melaka yang dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 4,500 hingga 6,000 orang dalam tempoh tiga tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2097
Kongsi :
Previous post Video tular Myvi rempuh van, polis tahan lelaki bantu siasatan
Next post Anak pakcik jual buah potong dah jawab
Ubah saiz-+=