COVID-19: Enam positif, Balai Polis Merlimau ditutup sementara

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

MERLIMAU 28 Ogos – Balai Polis Merlimau ditutup sementara bagi proses sanitasi susulan tiga anggota balai berkenaan dikesan positif COVID-19.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, setakat ini pihaknya mengesan tiga anggota dan isteri masing-masing positif wabak itu.

Katanya, pihaknya turut mengesan kontak rapat bagi keenam-enam individu berkenaan.

“Susulan kes positif dikesan di balai berkenaan, 15 daripada 23 anggota diarahkan menjalani kuarantin,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya sedang memohon arahan menutup premis terbabit daripada KKM dan belum dapat memastikan tempoh penutupan.

“Bagaimanapun, esok balai berkenaan ditutup bagi menjalankan kerja sanitasi bagi mengelakkan penularan wabak di balai berkenaan.

“Kita akan meletakkan balai polis bergerak di balai terbabit bagi membolehkan sebarang urusan berkaitan dan orang ramai yang mahu membuat urusan termasuk permohonan rentas daerah dan negeri boleh juga berurusan di Balai Polis Sungai Rambai serta balai berhampiran,” katanya.

Menurut Mispani, perkhidmatan polis kepada masyarakat di bawah pentadbiran Balai Polis Merlimau seperti rondaan pencegahan jenayah termasuk Kereta Peronda (MPV) dan Unit Ronda Bermotosikal (URB) masih berjalan seperti biasa.

Jelasnya, masyarakat yang memerlukan bantuan atau pertanyaan berkaitan boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) di talian 06-529 1122 dan Bilik Gerakan Jasin di talian 06-529 6095.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1543
Kongsi :
Previous post Pengembara masuk Malaysia melalui Johor perlu kemuka permohonan kuarantin – KP Kesihatan
Next post Jom sertai Sayembara Penulisan Rencana Perjalanan Pembentukan Malaysia
Ubah saiz-+=