COVID-19: Kes harian terus meningkat hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Kes baharu COVID-19 hari ini masih menunjukkan trend peningkatan apabila merekodkan 5,522 kes berbanding 5,439 kes dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti wabak itu adalah 2,855,930, setakat 12 tengah hari tadi.

Beliau berkata 5,483 daripada 5,522 kes baharu itu dikategorikan sebagai Kategori Satu dan Dua manakala 39 kes adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima.

“Sebanyak 373 atau 69.4 peratus daripada jumlah kes baharu adalah kes import manakala 5,149 kes atau 96.1 peratus ialah kes tempatan.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 127 kes dan 70 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19 di sini hari ini.

Trend peningkatan ini bermula pada 24 Jan lepas dengan merekodkan sebanyak 3,214 kes dan terus meningkat kepada 4,066 kes pada hari berikutnya, kemudian 4,744 kes dilaporkan pada 26 Jan lepas.

Mengenai kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 3,285 kes dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada wabak itu adalah 2,773,948 orang.

Beliau juga berkata 23 kluster baharu dikenal pasti dengan 289 kluster masih aktif setakat ini, sementara kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 dalam negara berada pada paras 1.15 dengan Negeri Sembilan merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.21 setakat semalam.

Sementara itu, katanya, 62 kes baharu COVID-19 membabitkan varian yang membimbangkan (VOC) dilaporkan dalam tempoh 25 Jan hingga kini.

“Kesemua kes ini adalah varian Delta. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah 7,118 kes.

“Daripada keseluruhan jumlah yang dikesan itu, sebanyak 7,098 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

735
Kongsi :
Previous post Terlelap punca Myvi putih rempuh lampu isyarat
Next post UK tarik arahan pakai pelitup muka, Dr Akmal seru rakyat segera ambil dos penggalak
Ubah saiz-+=