COVID-19: Kluster tempat kerja di Melaka meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

MERLIMAU 14 Feb – Kluster COVID-19 membabitkan tempat kerja menunjukkan peningkatan di Melaka sejak kebelakangan ini.

EXCO Kesihatan Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, berdasarkan data yang diterima sejak tiga hari lalu berlaku peningkatan membabitkan kontak rapat dari tempat kerja iaitu daripada 4.8 peratus pada 11 Feb meningkat kepada hampir 10 peratus, semalam.

Katanya, peningkatan itu membabitkan beberapa premis termasuk kawasan industri, kedai makan dan pasar raya.

“Pada 11 Februari data merekodkan peningkatan kontak rapat dari tempat kerja sebanyak 4.8 peratus dan meningkat pada keesokannya sebanyak 8.4 peratus.

“Peratusan itu terus meningkat kepada 9.3 peratus semalam (13 Feb),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan operasi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah kilang pembuatan optik di Merlimau, di sini hari ini.

Dalam lawatan mengejut itu, beliau telah mengarahkan kilang berkenaan ditutup serta-merta bermula hari ini selepas terdapat mendadak jangkitan COVID-19.

Jelasnya, setakat ini, seramai 21 daripada 333 pekerjanya disahkan positif wabak berkenaan.

“Kita arahkan kilang ini ditutup tujuh hari bermula hari ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Namun kita lihat dalam empat hingga lima hari akan datang sekiranya pihak kilang mampu menyediakan langkah-langkah keselamatan dan pencegahan jangkitan yang dikawal sebaiknya maka keputusan pembukaan semula akan dibenarkan berdasarkan penilaian dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1061
Kongsi :
Previous post 21,315 kes baharu COVID-19 hari ini
Next post Individu positif COVID-19, kontak rapat perlu lapor KKM jika majikan paksa bekerja
Ubah saiz-+=