COVID-19: Semua kontak rapat kepada ahli Babel yang dijangkiti, negatif

Masa Membaca:58 Saat

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Semua ujian COVID-19 yang dijalankan terhadap mereka yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada ahli pusat kecergasan Babel di Suria KLCC yang diuji positif, telah kembali negatif.

Pengurusan Suria KLCC Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan, pengesanan kontak dilakukan dengan segera sebaik sahaja diberitahu bahawa terdapat kes positif COVID-19 melibatkan seorang ahli Babel.

Menurut kenyataan itu, bagi memahami keadaan dengan lebih jelas, jejak kaki ahli Babel yang dijangkiti itu dilakukan sebanyak empat kali antara 9, 10, 11 dan 13 Sept lepas.

“Sebagai tindakan segera untuk memastikan keselamatan semua orang, Suria KLCC telah melakukan pembersihan dan nyahkuman secara menyeluruh di seluruh pusat belah-belah, terutama di kawasan umum. Ini termasuk pembersihan barang yang mempunyai kontak lebih kerap,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kenyataan itu menyebut Suria KLCC tidak menjangkakan apa-apa kesan terhadap perniagaan pusat beli-belah itu kerana kes berkenaan dikendalikan dengan baik dan operasi perniagaan diteruskan seperti biasa.

“Kami menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebar khabar angin yang tidak berasas. Pada waktu ini, langkah terbaik ialah bertindak dengan lebih bertanggungjawab dan kekal tenang dengan mendapatkan maklumat sah daripada sumber rasmi,” menurut Suria KLCC.

— BERNAMA

Views:

1443
Kongsi :
Previous post Tanam cerucuk perkukuh tebing runtuh
Next post Kes rasuah ketirisan perolehan kerajaan semakin kritikal – KP SPRM
Ubah saiz-+=