Sorting by

×

CSR CARA TERBAIK DEKATI RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

TANJUNG BIDARA 14 Jun – Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menjadi medan terbaik untuk pelbagai pihak berkepentingan khususnya agensi dan jabatan kerajaan mendekati rakyat di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, ia memandangkan aktiviti berkonsep tanggungjawab sosial dapat membuka ruang untuk memperkukuh semangat Malaysia MADANI di negara ini.

Justeru, beliau menyambut baik inisiatif dilakukan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) yang menganjurkan Program CSR Bersama Komuniti Negeri Melaka yang bertujuan membawa impak positif kepada masyarakat dan rakyat di negeri ini.

“Program seperti ini dapat meningkatkan penglibatan komuniti untuk menjalin hubungan yang kukuh dengan pihak-pihak berkepentingan seperti pemimpin komuniti, bagi menyelaras usaha dalam menjayakan program CSR mengikut keperluan komuniti setempat.

“Ia juga merupakan salah satu cara pihak-pihak berkepentingan untuk mendekati rakyat terutamanya dalam membangunkan dan membina hubungan yang lebih baik dengan masyarakat setempat.

“CSR yang dijalankan dengan tujuan yang jelas dan diisi dengan aktiviti-aktiviti yang memberi manfaat dapat membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menjalinkan hubungan yang erat,” katanya pada Program CSR JHEKS bersama Komuniti Negeri Melaka yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Villa d’Acqua Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan wakilnya, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen.

Dalam pada itu, Steven Sim memaklumkan, sepanjang 17 bulan menerajui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), sebanyak 30 kesatuan sekerja telah disantuni di seluruh negara.

Menurutnya, di Melaka, sebanyak 21 kesatuan sekerja telah diluluskan bantuan geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2025 melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM359,998 dan disampaikan pada program berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

557
Kongsi :
Previous post MTD PROPERTIES FOKUS PEMBANGUNAN MAMPAN DI MELAKA
Next post MELAKA SASAR 30,000 BEG DARAH TAHUN INI